Pemain bola sepak moden, kalau tidak sekental Franco Baresi mahupun Franz Beckenbauer sekalipun, biarlah jujur.
Bukan sekali dua Baresi -- legenda Itali dan AC Milan – mempamerkan semangat juang yang tinggi pada saat rakan-rakan memerlukannya.
Pada 1989, Baresi mengharungi sepanjang separuh masa kedua dengan tangan patah, gara-gara disepak oleh Jurgen Klinsmann.
Dia sekali lagi mempamerkan keajaiban apabila pulih daripada kecederaan lutut (meniskus) menjelang Piala Dunia 1994.
Tetapi selepas 25 hari, dia pulih untuk mengetuai rombangan Itali ke Amerika Syarikat. Walaupun tidak cergas sepenuhnya, peranan 'libero' yang dimainkannya memacu Itali ke perlawanan akhir sebelum kecundang kepada Brazil menerusi penentuan sepakan penalti.
Jadi, tiada siapa yang boleh mempertikaikan keputusan Milan untuk membersarakan jersi nombor 6 kelab itu.
Begitu juga legenda Jerman, Beckenbauer.
Ketua pasukan Jerman itu bermain dalam kesakitan selepas ditimpa kecederaan bahu dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia 1970 bertemu Itali.
Namun, melihat Alexis Sanchez berguling-guling di atas padang kononnya sedang menanggung derita hebat terkena bola balingan pemain pertahanan Leicester City, Christian Fuchs, pada pertengahan minggu ini, adalah satu drama yang memalukan.
Dalam pertembungan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, tonggak utama Arsenal berkenaan mendakwa Fuchs mengasarinya tetapi reaksi berlebihannya itu harus dikelaskan sebagai taktik murahan meraih simpati pengadil.
Biarpun Sanchez tampil di media sosial dengan menunjukkan kecederaan kecil di bahagian dalam bibirnya itu, ia tidak cukup kuat untuk menafikan reaksinya adalah keterlaluan.
Situasi Sanchez mungkin sama sekali berbeza dengan kedua-dua pemain legenda dunia itu.
Tetapi ia boleh menggambarkan semangat kesukanan tinggi dalam kalangan pemain-pemain.
Ia juga adalah salah satu contoh tepat pada ketika mutu pengadil sering menjadi topik pertikaian dari segenap penjuru.
Pemain-pemain seolah-olah bersikap tidak bertanggungjawab, seperti mana ketika mereka cuba berdalih ketika secara terang-terangan, telah melakukan terjahan keras.
Percayalah, lencana integriti di jersi pemain bukanlah terhad kepada subjek rasuah sahaja.
Tetapi, biarlah membawa pengertian lebih besar lagi dalam bola sepak.