Skip to main content

Rencana

Jose Mourinho pening!

16517mourinho.jpg
Sejumlah 65 mata dalam 36 perlawanan liga yang diraih Manchester United di bawah bimbingan Jose  Mourinho, adalah jumlah perlawanan dan mata yang sama diperolehi sewaktu  Red Devils dibimbing Louis Van Gaal (LVG).

Adakah itu petanda bahawa “The Special One” gagal dalam musim pertamanya di Old Trafford? 

Dan adakah beliau akan menerima nasib yang sama seperti LVG?

Sewaktu di bawah bimbingan  LVG, beliau berjaya membawa Manchester United muncul juara Piala FA, namun kegagalan merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menyaksikan jodohnya bersama Man United ditamatkan lebih awal.

Penggantinya pula adalah anak didik LVG sendiri, iaitu Mourinho, yang sedang berehat panjang selepas dipecat Chelsea yang menamatkan liga di kedudukan ke-10 musim lalu.

Kehadiran Mourinho sewaktu pra-musim membawa banyak perkembangan positif kepada pasukan. 

Beliau mampu memujuk De Gea untuk kekal menjadi benteng terakhir Man United. Mourinho turut membawa masuk nama besar seperti Zlatan Ibrahimovich dan turut berjaya mendapatkan pemain termahal dunia, Paul Pogba.

Pemilihan pemain di dalam kesebelasan utama yang direncana Mourinho juga amat digemari penyokong tempatan apabila beliau tidak mengetepikan bakat-bakat belia akademi seperti Marcus Rashford, Jesse Lingaard, Fosu Mensah dan juga Axel Tuanzebe. 

Malah, Rashford turut mengambil tempat selaku penggempur utama selepas kecederaan Ibrahimovich.

Namun, sekalipun Mourinho digemari, realiti sebenar masih memeningkan pengendali dari Portugal itu. 

Kejuaraan Liga Europa  adalah peluang terakhir Mourinho untuk sekurang-kurangnya menamatkan musim ini dengan satu piala selain daripada Perisai Komuniti dan juga untuk merebut tempat bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Dengan dua kekalahan berturut-turut di tangan Arsenal dan Spurs dalam saingan liga dan atas alasan mahu memberikan tumpuan kepada final Liga Europa berdepan Ajax Amsterdam, sebarang kegagalan dalam final di Stockholm nanti hanya akan menambah kekusutan dan memeningkan Mourinho untuk percaturan musim hadapan.

Advertisement

Must Watch Video