Jersi pasukan manakah yang telah anda beli untuk Piala Dunia kali ini? Apakah anda mampu memakainya pada malam final 15 Julai nanti?

Bukan hanya berkisar kepada pasukan-pasukan, jersi Piala Dunia kali ini harus mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Baiklah, dengan selesainya peringkat kumpulan dan pusingan 16, anda harus sudah melihat jersi kesemua 32 pasukan yang bertanding sekurang-kurangnya sekali.

Daripada persaingan jenama, Adidas mendahului dengan membekalkan seragam 12 pasukan, diikuti oleh Nike 10 dan Puma 4.



Daripada senarai itu pula, empat pasukan tajaan Nike (Perancis, Brazil, England dan Croatia), tiga pasukan dengan seragam Adidas (Belgium, Sweden dan Russia) serta satu di pihak Puma (Uruguay) masih kekal bersaing.

Bagi peringkat suku akhir yang dimulai dengan pertemuan Perancis-Uruguay malam esok, tiada dua pasukan yang mengenakan jersi jenama yang sama, akan bertemu sesama sendiri – dengan kemungkinan itu hanya berlaku dalam separuh akhir dan akhir.

Siapakah yang akan muncul juara Piala Dunia pada 15 Julai ini – Nike, Adidas atau mungkinkah Puma?

Empat tahun lalu di Brazil, Adidas yang unggul apabila Jerman ditabalkan juara dengan gol Mario Gotze ke atas Argentina (juga mengenakan jenama Adidas) dalam masa tambahan final di Stadium Maracana, Rio.

Pasukan pilihan untuk muncul juara kali ini, Brazil, dilengkapi Nike.

Tahukah anda? Separuh daripada jumlah pasukan kali ini memilih merah sebagai jersi pertama mereka, dengan 14 pasukan mengenakan warna putih sebagai jersi kedua.



Namun, lebih awal daripada final, CBS Sports tampil dengan penilaian jersi pasukan-pasukan yang bertanding dan memilih jersi pasukan Nigeria sebagai yang tercantik. Ini disusuli jersi Belgium di tempat kedua dan Brazil di tempat ketiga.

Kedudukan ranking jersi Piala Dunia (mengikut penilaian CBS Sports) adalah seperti berikut:

1 Nigeria, 2 Belgium, 3 Brazil, 4 Argentina, 5 Perancis, 6 Sepanyol, 7 Croatia, 8 Portugal, 9 Jerman, 10 Colombia.

11 Jepun, 12 England, 13 Uruguay, 14 Peru, 15 Iceland, 16 Senegal, 17 Korea Selatan, 18 Russia, 19 Australia, 20 Sweden.

21 Mexico, 22 Mesir, 23 Costa Rica, 24 Switzerland, 25 Arab Saudi, 26 Serbia, 27 Denmark, 28 Poland, 29 Maghribi, 30 Panama, 31 Iran, 32 Tunisia.



Berikut pula penjelasan CBS Sports terhadap pemilihannya:

Jersi Nigeria: Nike

Bagaimana mungkin ini bukan pilihan no. 1 dalam senarai kami? Jersi pilihan pertama Nigeria meraih sebegitu banyak populariti sehingga ia habis dijual dalam tempoh beberapa minit selepas pelancarannya. Jersi pertama Super Eagles ini diinspirasikan daripada jersi 1994 keluaran Nike yang menampilkan corak sayap hitam-putih di kedua-dua lengan. Hijau yang digunakan Nike pada 1994 lebih gelap tapi tampil dengan hijau limau kali ini.

Jersi Belgium: Adidas
Anda mungkin tidak biasa melihat corak ‘Argyle’ pada jersi tapi ini bermirip kepada jersi Belgium dalam Euro 1984. Namun, pasukan ketika itu gagal melepasi peringkat kumpulan. Diharapkan perkara yang sama tidak berlaku kepada Belgium dalam suku akhir.

Jersi Brazil: Nike

Warna kuning burung kenari yang digunakan Brazil sudah tersohor di seluruh dunia sebagai antara seragam paling ikonik dalam bola sepak. Adalah tidak masuk akal untuk memikirkan Brazil pernah menggunakan jersi putih dan berseluar pendek biru dibandingkan dengan kuning. Jika tidak kerana sejarah hitam ‘Maracanazo’ apabila Brazil tewas kepada Uruguay dalam final 1950, kita mungkin tidak akan melihat barisan Selecao mengenakan jersi kuning.

Jika anda masih ragu-ragu dengan pilihan jersi anda, ini adalah masanya untuk membeli sebelum kehabisan.