Skip to main content

Rencana

Jangan takut mat salleh tu

300616-jeganathan.jpg

Di bumi Brazil, ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, boleh disenaraikan sebagai individu yang paling gementar memikirkan prestasi anak buahnya di lapangan olahraga yang sudah membuka tirai.

Apa tidaknya keseluruhan prospek pingat tergalas di bahunya menerusi tiga wakil bertaraf dunia iaitu Latif Romly, Ridzuan Puzi, dan Ziyad Zolkefli.

Jeganathan atau lebih mesra di sapa sebagai 'Coach Jega' pastinya sudah berpuas hati daripada segi persediaan fizikal anak buahnya.

Bagaimanapun, Jega tidak miliki sebarang jaminan, setiap kali memikirkan kekuatan mental anak buahnya yang sukar untuk dibaca, atau dikawal lebih-lebih lagi apabila berhadapan cabaran besar seperti ini.

"Saya tak boleh lelap mata memikirkan anak-anak saya (atlet), berulang kali saya pesan kepada mereka, fokus amat penting, jangan hilang tumpuan, saya harap mereka bijak dalam mengawal emosi," itu harapan Jega.

Rupa-rupanya kegusaran Jega ada benarnya.

Hari pertama acara di Stadium Olimpik menerusi Nasharuddin Mohd, bagi kategori 400 meter T20, gagal menepati sasaran sekurang-kurangnya layak beraksi di peringkat final apabila sekadar menduduki tangga ke-10 keseluruhan menerusi catatan 51.75s.

Nasharuddin yang menduduki ranking ke lapan dunia, gagal menyaingi catatan peribadi yang dilakukan di Sukan Para ASEAN Singapura tahun lalu, dengan catatan 49.65s.

Begitu juga kelibat Faizal Aideal Suhaimi, yang belum mampu dilabelkan sebagai 'secret weapon' Jeganathan, selepas klasifikasinya diubah dua hari sebelum hari perlawanan dari T12 ke T13 bagi 100m lelaki.

Aideal terpaksa akur di kedudukan ke-11 keseluruhan dengan catatan 11.30s.

Pembukaan kurang cemerlang pada hari pertama di Stadium Olimpik, bukan bermaksud peluang lain sudah tertutup kerana tumpuan utama Malaysia adalah aksi pada hujung minggu ini.

"Jangan takut Mat Salleh tu, sebab mereka juga takut dengan kita sebenarnya," itulah kata-kata semangat yang tidak pernah lekang dari mulut Jega, setiap kali memberikan motivasi kepada anak buahnya.

Kata-kata Jega disulami bukti, kerana anak buahnya tetap menjadi perhatian pesaing setiap kali mereka melewati sesi latihan di gimnasium mahupun di trek latihan.

Jika Nasharuddin dan Aideal gagal menepati sasaran Jega pada hari pertama, ada yang lebih manis mungkin menanti hujung minggu ini.

Jangan takut anak-anakku! - R.Jeganathan.

Advertisement

Must Watch Video