RENCANA
Jangan takut dan gentar Hafizuddin, Hairi!
Pentas Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) adalah medan terbaik buat Muhammad Hafizuddin Othman dan Mohammad Hairi Abdul Rahman membuktikan kemampuan mereka kepada ketua jurulatih pasukan hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen.
Inilah peluang keemasan yang harus direbut dua penjaga gol negara itu dengan ketiadaan pilihan utama, S. Kumar yang masih lagi menunggu keputusan hukuman daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) kerana positif ujian doping tahun lalu.
Apa tidaknya kejohanan PSAS edisi ke-27 yang membuka tirainya bermula hari ini hingga 10 Mac nanti pastinya menjanjikan pengalaman cukup berharga buat mereka berdua kerana akan menentang lima pasukan dalam kelompok ranking 10 terbaik dunia.
Iklan
Malaysia ada ranking paling rendah pada kejohanan ini iaitu No. 12 dunia berbanding Australia (No. 1 dunia), Argentina (No. 2 dunia), India (No. 6 dunia), England (No. 7 dunia) dan Ireland (No. 10 dunia).
Bukan sahaja berdasarkan kedudukan ranking tetapi pencapaian lima negara ini.
Umum ketahui Australia adalah powerhouse arena hoki dunia, Argentina pula juara Sukan Olimpik 2016 dan India sentiasa memonopoli rantau Asia dengan merangkul gelaran Piala Asia tahun lepas.
England masih segar dengan kejayaan memenangi pingat gangsa Kejohanan Eropah 2017, manakala Ireland sejak kebelakangan ini sering menjadi 'duri dalam daging' buat pasukan lelaki kebangsaan.
Suka atau tidak Hafizuddin dan Hairi perlu tampil cemerlang dalam semua kejohanan dengan ketiadaan Kumar agar meningkatkan keyakinan Van Huizen untuk terus menagih khidmat mereka dalam pertandingan seterusnya iaitu Sukan Komanwel 2018.
Jangkaan para peminat hoki tempatan sudah semestinya tinggi terhadap mereka berdua tetapi jangan sesekali menganggapnya sebagai tekanan, sebaliknya jadikan ia pemangkin semangat untuk terus berjaya.
Inilah peluang mereka untuk menyinar. Sebagai contoh, saya masih mengingati bekas penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin sewaktu Sukan Komanwel 1998.
Roslan diberikan peluang oleh jurulatih ketika itu, Paul Lissek menjadi penjaga gol utama menggantikan Nasihin Nubli Ibrahim dan beliau menggalas tanggungjawab tersebut dengan cemerlang.
Kita muncul naib juara Sukan Komanwel 1998 di bumi sendiri, Kuala Lumpur.
Jadi tidak mustahil sekiranya Hafizuddin dan Hairi bermain cemerlang, pasukan bimbingan Van Huizen mampu meraih sesuatu pada kejohanan ini, mungkin menjadi juara buat kali pertama sejak ia diperkenalkan pada 1983.
Tiada yang mustahil. Ayuh Malaysia Ku!
Must-Watch Video