RENCANA
Jangan nak ghairah sangat
Baru sahaja beberapa bulan lalu,kredibiliti Datuk Lee Chong Wei sebagai prospek emas Olimpik Rio 2016 dipersoal susulan penyingkiran awal di Seluruh England dan Siri Super Terbuka India.
Kini, Chong Wei kembali dijulang sebagai harapan terbaik negara untuk menamatkan penantian begitu lama di pentas Olimpik selepas memenangi Siri Super Premier Terbuka Malaysia dan kejohanan badminton Asia.
Aneh bukan.......
Iklan
Tetapi mengagumkan apabila aksi merampas kejuaraan di pentas final kejohanan badminton Asia hadir menerusi kemenangan ke atas pemain nombor satu dunia, Chen Long.
Malah kempen di Wuhan, China itu menyaksikan Chong Wei mengatasi seterunya Lin Dan.
Berdasarkan pencapaian ini, pasti Emas Olimpik Rio akan menjadi hak mutlak Chong Wei seterusnya menamatkan penantian begitu menyeksakan buat seorang jaguh dan sebuah negara.
Tetapi realitinya, China berupaya untuk ambil sebarang risiko termasuk kekalahan awal bagi mengkaji corak permainan Chong Wei kerana mereka pernah rasa kemewahan bergelar Juara Dunia dan Olimpik.
Bukan mahu menidakkan kemenangan Chong Wei mahupun semangat kesukanan tonggak China, Chen Long dan Lin Dan, tetapi senario ini tidak mustahil kerana badminton adalah permainan yang bersandarkan muslihat dalam gelanggang dan tidak kurang juga diluarnya.
Dua kejohanan besar badminton, kejohanan Asia di Wuhan dan selepas ini Piala Thomas & Uber menyaksikan China jadi tuan rumah, maka lebih mudah untuk mereka mengerah setiap jurulatih yang ada untuk mengkaji setiap sudut kelemahan dan kekuatan Chong Wei.
Pujian bagaimanapun wajar diberikan kepada Chong Wei atas keupayaan mengatasi belenggu mental apabila berdepan dua jaguh China itu dengan harapan sama dia mampu mengulanginya di Brazil.
Pesanan untuk diri sendiri dan seluruh rakyat Malaysia, usah terlalu ghairah.
Must-Watch Video