Skip to main content

Rencana

Jangan cabul Sukma!

johorterengga.jpg
Pesta sukan terbesar di Malaysia (Sukma) bermula secara rasmi di Ipoh, Perak.

Ini kali kedua Perak jadi penganjur selepas 1994 yang menyaksikan pertembungan epik final 100 meter lelaki yang menyaksikan Azmi Ibrahim menewaskan Watson Nyambek menerusi catatan tangan yang kontroversi.

Selepas 24 tahun, kontroversi sekali lagi menghantui Sukma Perak.

Kali ini acara bola sepak dicemari insiden pergaduhan antara Johor dan Terengganu.

Video amatur sikap pemain di atas padang tersebar secara meluas hingga menenggelamkan kejayaan Harimau Malaya menewaskan Kemboja pada aksi persahabatan di Phnom Penh.

"Inilah imej bola sepak negara. Memalukan," kata netizen di laman sosial.

Kecaman demi kecaman dilontarkan peminat yang semakin jemu dengan sikap pemain di atas padang.

Realitinya, mereka sudah masak dengan sikap seperti itu kerana ramai yang membandingkan sikap pemain ragbi yang memiliki susuk tubuh lebih besar atau hoki yang menggunakan kayu di atas padang.

"Pemain ragbi badan besar tapi jarang bergaduh. Ini kalau kena sondol dengan pemain ragbi, tidak tahulah nasib mereka," kata netizen.

"Hoki pegang kayu tapi jarang pula kayu itu hinggap ke kepala lawan," kata seorang lagi netizen.

Saya melihat insiden ini sebagai bayangan masa depan sukan negara.

Bayangkan atlet berusia bawah 21 tahun tidak menghormati lawan, pengadil dan pegawai keselamatan bertugas.

Apa akan berlaku jika mereka terpilih mewakili negara?

Adakah mereka boleh hilangkan sikap itu atau akan dibawa sekali ke pentas antarabangsa?

Inilah masalah akar umbi bola sepak negara, bukan setakat Sukma.

Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), majlis sukan negeri, daerah atau zon sekalipun memang berlaku insiden pergaduhan pemain bola sepak.

Lucu juga apabila atlit sukan tempur seperti silat, karate-do, wushu atau judo tidak pula bergaduh 
di dalam gelanggang. Semuanya kerana semangat kesukanan!

Malah atlet-atlet yang garang ini jika diminta untuk temubual, tersipu-sipu malu pula. 

Jadi kepada 12,000 atlet yang akan memulakan cabaran, selamat berjuang.

Jaga nama baik keluarga, sukan, sekolah, kolej, universiti dan tok guru anda.

Ini langkah pertama untuk anda mencapai impian seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Azizulhasni Awang atau Pandelela Rinong.

Jangan cabul Sukma!



Kredit foto: Facebook Johor Southern Tigers

Advertisement

Must Watch Video