Mereka tidak pandai menyusun kata apatah lagi menabur janji untuk membawa pulang kejayaan besar buat negara.
Hasrat besar itu hanya tersemat kemas di dalam hati dan hanya mampu diluahkan dalam aksi yang dinanti-nantikan iaitu Paralimpik Rio Brazil yang bakal membuka tirai 7 hingga 18 September 2016.
Baru-baru ini netizen persoal ke mana hilangnya tumpuan kerajaan dan media ketika kejayaan Ridzuan Puzi menjulang emas dalam acara 100m kategori T36 di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Doha setahun yang lalu.
Lucu apabila persoalan ditimbulkan ketika kejayaan manis Ridzuan mendapat liputan meluas media tempatan selain tidak terlepas sambutan wira daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika itu.
Kehebatan anak jati kelahiran Perlis itu mula meniti dibibir penyokong dan peminat sukan tanahair yang mungkin antara mereka baru mengenali atlit para negara yang lebih selesa digelar sebagai 'KamiLuarBiasa'.
Adakah kerajaan atau media yang tidak memainkan peranan atau netizen sendiri lambat menyedari wujudnya jaguh negara bersifat luar biasa seperti mereka yang kini menggalas tanggungjawab sama seperti Datuk Lee Chong Wei, Pandelela Rinong dan Azizulhasni Awang iaitu membawa pulang emas paralimpik pertama buat negara ?
Harus diingat, bukan hanya Ridzuan Puzi yang menjadi tumpuan negara di Rio kali ini tetapi lebih daripada seorang atlit paralimpik negara yang dijangka mampu jadi harapan penyumbang emas pertama paralimpik buat negara.
Mereka bukan sahaja mengisi kekosongan atas tiket mudah mewakili negara tetapi mereka turut diangkat sebagai jaguh dunia apabila ada di antara mereka menghuni ranking 3 terbaik dunia ketika ini.
Bagi penulis, tumpuan utama menjelang penganjuran Paralimpik yang bakal membuka tirai beberapa hari sahaja lagi ini perlu diberikan kepada Abdul Latif Romly bagi sukan lompat jauh kategori T20.
Dengan catatan 7.35 meter yang telah dilakukan Latif di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Doha setahun lalu, anak jati Perlis itu cemerlang di ranking pertama dunia setakat ini.
Prestasi cemerlang Latif yang turut bersaing di SUKMA Sarawak 2016, mengejutkan ramai pihak, bukan sahaja cemerlang dengan pingat emas SUKMA tetapi dia berjaya melakukan lompatan terbaik 7.46 meter sekaligus membawa maksud Latif miliki peluang cerah untuk mengutip pingat dan tidak keterlaluan jika emas pertama Paralimpik bakal dijelmakan Latif pada 11 September ini.
Tidak ketinggalan wakil wanita negara Siti Noor Iasah Mohd Ariffin yang menyertai dua acara iaitu 400 meter T20 dan lompat jauh T20 turut dijangka bawa pulang pingat untuk penampilan sulangnya di Paralimpik.
Iasah, jadi sebahagian daripada 'senjata rahsia' R Jeganathan dengan mensasarkan anak jati kelahiran Johor ini mampu sumbang pingat bagi acara 400 meter wanita T20.
Melihat kepada kredibiliti atlit yang bakal bertanding, tidak mustahil hasrat besar Khairy yang mahu melihat pencapaian lebih baik dari aksi 4 tahun lalu di London mampu dilaksanakan di Rio.
Tidak keterlaluan andai emas pertama paralimpik bakal dijelmakan menerusi atlit luar biasa ini.
Berjuanglah!