Barisan pemain dan pegawai pasukan Felda United, selepas perlawanan menentang Sarawak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka semalam, dikejutkan dengan pengumuman oleh pengendali mereka, Irfan Bakti, untuk mengundurkan diri.
Suasana hiba menyelimuti bilik persalinan ketika jurulatih berusia 65 tahun itu memaklumkan perkara berkenaan dan menyentuh emosi pemain-pemain, terutama kapten, Shukor Adan, yang kini berada di hujung kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional.
Irfan membuat keputusan itu selepas berasakan beliau gagal mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan The Fighters, iaitu meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.
Titik hitam kegagalan itu bermula apabila Felda United kandas dalam pusingan ketiga Piala FA pada Mac lalu. Mereka kemudian gagal dalam persaingan "two-horse race" bersama Johor Darul Ta'zim untuk kejuaraan Liga Super setelah terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Dengan Piala Malaysia menjadi harapan terakhir, peluang itu juga berkubur apabila mereka kecundang di tangan T-Team di peringkat suku akhir baru-baru ini, sekali gus memberi tamparan hebat kepada pengendali kelahiran Perak itu.
Namun, Irfan bersikap "gentleman" apabila nekad untuk keluar daripada Felda United dan tidak akan mempertimbangkan segala tawaran daripada pasukan ini selepas tiga musim membimbing The Fighters sejak 2014.
Irfan sebenarnya sudah melakukan yang terbaik buat skuad Felda, namun mungkin bukan rezekinya untuk mencapai misi pasukan dan di sebalik kegagalan itu, bekas jurulatih Telekom Melaka ini berjaya membantu Felda United mencipta sejarah menerusi kemaraan ke pentas Piala AFC buat julung kalinya.
Ia sememangnya pencapaian membanggakan untuk pasukan ini apabila menjadi antara kuasa hebat dalam kancah bola sepak tempatan.
Shukor ketika memberi reaksinya susulan keputusan Irfan itu berkata: "Irfan seperti bapa kami. Selama tiga tahun, pasukan Felda orang tidak kenali, kini sudah dikenali, termasuk juga sesetengah pemain yang kini sudah mencipta nama."
Ya, penulis senada dengan Shukor dan sememangnya kehilangan Irfan akan dirasai skuad Felda walaupun pasukan ini mampu mencari pengganti terbaik. Cuma apa yang menjadi persoalan penulis ketika ini di manakah destinasi Irfan selepas ini?
Difahamkan, sebuah pasukan dari Pantai Timur betul-betul berminat mendapatkan khidmat jurulatih yang pernah berkelana di Indonesia ini.
Namun, Irfan enggan memikirkan perkara itu ketika ini kerana beliau mahu berehat terlebih dahulu dan dengar-dengarnya coach mahu bercuti ke Eropah!