RENCANA
Impian sejak 2010 termakbul
Beberapa bulan lalu, apabila saya dapat tahu akan menjadi sebahagian warga Astro Arena ke Sukan Komanwel di Gold Coast, saya rasa amat bersyukur kerana akhirnya satu daripada impian untuk membuat liputan temasya sukan terbesar dunia -– Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Komanwel –- akhirnya termakbul.
Mungkin sedikit lewat, ketika usia sudah menganjak 36 tahun, tetapi saya tidak kisah kerana ada kalanya rezeki didatangkan sedikit lewat itu mungkin lebih dirasai kemanisannya.

Iklan
Ironinya, Sukan Komanwel pertama ialah di Australia, negara asal saya biarpun Gold Coast terletak kira-kira 2000 kilometer daripada Bordertown, Australia Selatan, bandar saya dilahirkan dan di mana ayah saya masih menetap.
Lebih seminggu di sini, saya jadi saksi banyak pengalaman baharu dan manis - seperti kejayaan pemain skuasy negara, Nafiizwan Adnan raih gangsa ketika tiada siapa letak harapan di bahunya dan tumpuan terarah kepada ratu skuasy, Datuk Nicol David.
Kejayaannya tumbangkan juara dunia dua kali, Nick Matthew di depan mata saya tidak akan dilupakan. Nafiizwan sempat beritahu, biarpun kerjaya skuasy di pentas antarabangsa kurang menyerlah, dia bersyukur jadi pemenang pingat pertama negara dalam sejarah perseorangan lelaki.
Satu lagi pengalaman buat saya kagum ialah liputan sukan triathlon apabila atlet berusia 50 tahun, Christpher Walker dari Gibraltar bukan sahaja mampu tamatkan perlumbaan tetapi tewaskan tujuh peserta lebih muda, termasuk atlet Malaysia, Cheong Xian Hao.
Saya gembira di sini kerana keramahan petugas dan sukarelawan yang kebanyakan daripadanya adalah golongan usia emas. Tidak keterlaluan saya katakan mereka adalah antara yang terbaik pernah saya temui.
Senyuman tidak lekang di bibir buatkan saya seperti mendapat caj positif apabila disapa mereka biarpun secara fizikal saya memang sudah kepenatan. Kata-kata seperti ‘How’s your day, mate?’, ‘Have a nice day’ tidak pernah gagal buatkan saya ceria.
Sekalung terima kasih kepada semua petugas dan sukarelawan Sukan Komanwel 2018. Anda wira tidak didendang yang akan saya sentiasa kenang!

*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara di Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita
Must-Watch Video