Skip to main content

Rencana

Ibu, saya tidak perlu diseludup lagi!

intan1.jpg
20 tahun lalu, temasya Sukan Komanwel begitu asing buat saya.
 
Masih di bangku sekolah dan tinggal di asrama, saya tidak faham mengapa ibu saya begitu sibuk ketika temasya itu dilangsungkan di Kuala Lumpur. Bayangkan saya terpaksa menaiki bas dan bertukar ke tren menuju ke Bukit Jalil semata-mata untuk bertemu dengannya.
 
Ya! Ibu saya adalah seorang daripada beribu sukarelawan yang menjadi tulang belakang penganjuran ketika itu!
 
Seawal jam 5 pagi, ibu akan bangun dan bersiap sedia untuk memandu di pagi hari bagi meredah perjalanan selama 2 jam dari Banting ke Bukit Jalil. Dan pulang semula pada waktu malam setelah selesai tugasan.Ya, setiap hari.
 
Pada ketika itu saya tidak faham mengapa ibu sanggup melakukan segalanya.Namun katanya, dia nak jadi sebahagian dari temasya besar ini dan berbangga dengan Malaysia kerana dipilih sebagai tuan rumah.
 
Sempat saya ‘diseludup’ masuk bagi menyaksikan upacara penutup Temasya Sukan Komanwel 98.Ibu memohon kebenaran pegawai bertugas untuk membawa saya kerana ketika itu kemudahan telefon mudah alih masih lagi asing dan ibu bimbangkan keselamatan saya.
 
Begitu bersemangat ibu membawa saya merasakan kehebatan upacara tersebut. Ternyata gah! Walaupun hanya duduk di tangga stadium, itu sudah bagus buat saya!
 
Siapa sangka, 20 tahun kemudian, saya menjadi individu di depan kamera bagi melaporkan perkembangan temasya yang sama. Sehari sebelum artikel ini di tulis, saya beruntung menyaksikan upacara pembukaan gilang-gemilang Sukan Komanwel Gold Coast 2018, di Stadium Carrara,Gold Coast Australia.
 
Masih saya ingat raut wajah ibu ketika saya memberitahu akan terbang ke Gold Coast bagi menjadi antara tenaga kerja Astro Arena untuk Sukan Komanwel 2018. Mukanya tenang namun penuh girang.Hati seorang ibu.
 
Ibu, hari ini saya tidak perlu lagi ‘diseludup’ masuk untuk menonton.Malah saya mendapat akses sepenuhnya untuk ke mana sahaja acara yang saya suka!
 
Terima kasih ibu kerana menjadi inspirasi saya selama ini.

Buat rakyat Malaysia, ayuh bersama kami semua tenaga kerja Astro Arena yang berada di Gold Coast mahupun di Malaysia, sama-sama kita raikan temasya Sukan Komanwel 2018!
 


*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara di Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita Nadi Arena 800/803HD
 

Advertisement

Must Watch Video