Skip to main content

Rencana

Ibarat Mourinho, mencarut bukan benci, tapi tanda sayang jurulatih

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

josemourinhocropped_v0dztfqbj0lt1t95ds0o6pek6.jpg
Korang semua memang baik, tetapi kalau nak menang, korang tak boleh jadi baik. Untuk 90 minit, korang kena jadi p**k*m*k. Bukan p**k*m*k yang bodoh, tapi p**k*m*k yang pakai otak."
 
Bila saya tonton kembali klip video ini, ketika Jose Mourinho memberi taklimat kepada pemain Tottenham Hotspur, secara tidak sedar, terukir senyuman di wajah saya kerana saya pernah melalui perkara yang hampir sama. Setiap jurulatih ada cara sendiri dalam melahirkan hasrat serta membangkirkan semangat pemain-pemain di bawah kendaliannya. Sejujurnya, jauh di sudut hati saya amat merindui senario seperti ini.
 
Salah seorang jurulatih saya ketika saya mula bertatih dalam sukan bola sepak, mempunyai "kata-kata keramat" kegemaran yang sering digunakan ketika latihan, dan juga ketika permainan. Sangat tidak manis jika didengar, agak kasar dan boleh mengakibatkan pergaduhan jika digunakan di luar konteks.
 
K**pa*a B**t*h. 

Sangat menyakitkan telinga bagi orang luar, tetapi bagi kami, so endearing. Kerana kami tahu, semuanya datang dari satu tempat yang murni. Jurulatih mahukan yang terbaik dari, dan buat kami. Satu perkara yang saya sedar sekarang, adalah tunjang utama hubungan jurulatih dan pemain ketika itu bertunjangkan satu perkara β€” kasih sayang. Kami, sebagai pemain, tahu jurulatih sayangkan kami, anak-anak buahnya. Dan biarpun dimaki dengan perkataan sebegitu, kami secara anehnya juga sayangkan jurulatih kami.
 
Jika saya kenang kembali jurulatih-jurulatih di awal penglibatan saya dalam bola sepak, mereka inilah yang mencorak personaliti saya sebagai pemain. Mungkin, menjadi jurulatih untuk anak-anak muda lebih mudah; tidak ada unsur-unsur lain selain kejujuran. Ada kenaifan yang indah dalam bolasepak peringkat muda ini. Seperti satu simbiosis yang sempurna; pemain hanya mahu bermain dan memerlukan jurulatih, dan jurulatih hanya mahu anak-anak buahnya berjaya.

Bola sepak sememangnya a beautiful game. It's the people in it that make it ugly.
   
Semakin saya meningkat umur, begitu juga karier saya. Dan saya menemui realisasi yang menampar saya dengan pelempang realiti β€” kasih sayang itu tidak akan kekal selamanya dalam permainan ini. Saya mula menyedari yang tidak semua jurulatih di peringkat seterusnya punyai sifat murni dan kejujuran. Bukan semua, tetapi ada yang seakan punya agenda sendiri. Realiti ini agak asing buat saya, kerana saya selalu menyangka yang kejujuran, dan kerja keras adalah kunci utama untuk berjaya dalam sukan bola sepak ini. Namun pemikiran ini sehijau umur saya ketika itu
 
Setelah saya berjaya menempatkan diri dalam skuad remaja negeri, yang mana secara peribadi, satu pencapaian yang amat saya banggakan, saya digugurkan tanpa penjelasan yang konkrit. Jurulatih saya ketika itu dilantik dari sekolah yang menjadi seteru utama pasukan saya ketika bermain di peringkat itu. Pelbagai persoalan bermain di minda saya selepas menerima informasi tersebut β€” adakah saya tidak cukup bagus, atau masih ada dendam yang belum terlunas?
 
Coach, don't hate the player. Hate the game.
 
Saya tidak pasti samada perkara ini masih berlaku pada zaman ini. Tetapi pada ketika itu, agenda favoritism ini agak membelenggu bola sepak peringkat remaja. Satu known secret di kalangan mereka yang aktif dalam sukan ini. Saya tidak pasti adakah ini corak yang yang perlu ditempuh oleh seseorang pemain. Sepatutnya biarkan sahaja politik seperti ini di ruang Parlimen atau pada ahli-ahli politik, tidak perlu dibawa ke padang, di mana anak-anak muda sedang mengejar impian.
 
Saya tidak jadikan episod ini satu noktah dalam usaha saya mencapai cita-cita dalam bola sepak. Saya bernasib baik kerana saya berpeluang meneruskan karier saya di sebuah kelab atas dasar pinjaman, dan diberi kepercayaan oleh jurulatih kelab itu di usia yang masih muda. Beliau memberi kepercayaan kepada saya dan memberi ruang untuk saya menyinar, dan seterusnya mencipta nama di peringkat senior.
 
Hasil dari peluang yang diberikan, saya akhirnya kembali ke pangkuan pasukan asal, dan berjaya menarik perhatian pasukan-pasukan lain, dan seterusnya mengukuhkan kedudukan saya selaku pemain yang dipanggil ke pasukan kebangsaan. Jika dia tidak memberi laluan kepada saya, mungkin saya terpaksa menanti lebih lama untuk beraksi di peringkat seterusnya atau mungkin, saya menjadi pemain yang tidak mencapai potensi awal saya di peringkat remaja.
 
You didn't have to, but you did. For that, I thank you, Sir.
 


Saya berpeluang bermain dengan beberapa orang jurulatih import. Apa yang saya lihat, selain pendekatan taktikal yang berbeza, mereka amat mementingkan hubungan dan keselesaan pemain. Salah seorang jurulatih ini, sangat vokal dalam memperjuangkan hak pemain. Teringat saya pada satu peristiwa, di mana kami ditempatkan di sebuah hotel untuk penginapan, menjelang satu perlawanan di tempat lawan. Terus terang, bilik yang disediakan hotel tersebut bukanlah kamar terbaik pernah kami diami. Namun kami sedar, sebagai pemain, hadam sahaja sekiranya penginapan yang diberikan hanya ala kadar sahaja, kerana itu yang diberikan oleh pengurusan. Siapa kami untuk membantah?
 
Tetapi tidak bagi jurulatih asing ini. Melihat keadaan bilik yang tidak mencapai tahap yang beliau inginkan buat pasukan β€” all hell broke loose! Rungutan beliau menggegar ruang lobi hotel tersebut. Bagi beliau, keselesaan pemain adalah perkara yang amat penting kerana dia mahu pemain-pemainnya fokus menghadapi perlawanan dan tidak terganggu dengan isu remeh lain. Hasilnya, pihak hotel beralah dan kami tidur selesa sepanjang kami di sana.
 
Ada juga jurulatih import yang tampak tidak tegas, tetapi cukup profesional dalam mengendalikan latihan. Jurulatih yang pernah berkhidmat di sebuah kelab ternama di Eropah ini, sangat digemari oleh oleh semua pemain kerana beliau tidak garang dan sangat mudah untuk bergaul dengan pemain dalam mendapat kepercayaan mereka. Namun, jangan biarkan sifat lembutnya itu mengaburi persepsi β€” beliau sangat profesional dalam latihan sekaligus menimbulkan rasa hormat kepada semua pemain dalam pasukan. Pernah satu ketika, tanpa teragak-agak, beliau menggugurkan pemain yang agak rapat dengan beliau kerana 'naik lemak' - mengambil sikap sambil lewa ketika latihan dan seolah mengambil kesempatan atas persahabatan yang terjalin antara mereka. Tiada pilih kasih, tiada diskriminasi. Semua sama rata.
 
Profesionalisme. Suatu seni yang semakin mati.



Namun, ada juga pengalaman saya dengan jurulatih import yang sehingga kini, masih saya anggap satu pengalaman yang saya mahu lupakan. Jurulatih ini hadir dengan profail yang cukup ekstensif, berpengalaman dengan pelbagai pasukan bertaraf antarabangsa. Atas kertas, jurulatih ini dilihat mampu membawa pasukan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. Tetapi, sebaik sahaja kami berpeluang menjalani latihan dengan jurulatih ini, suasana terus bertukar tegang. Kami dilarang ketawa, malah senyum pun tidak dibenarkan sama sekali.
 
Beberapa pemain dimarahi dan dihukum kerana senyum, dan dianggap melanggar arahan, sedangkan kami sedang gembira, kerana dapat berlatih di bawah kendalian beliau. Ditambah pula dengan komunikasi yang terbatas, menjadikan pengalaman itu sesuatu yang saya harap dapat saya lupakan sepanjang pengalaman saya dalam bola sepak.
 
Harap CV je yang panjang. Senyum pun tak boleh, apa kejadahnya semua ni?
 
Saya tidak menyangkal kewibawaan jurulatih tempatan di peringkat senior. Masing-masing ada kelebihan dan kekuatan tersendiri. Dan kesemuanya memberi impak kepada saya sebagai seorang pemain, dan juga sebagai seorang individu secara umumnya. Tetapi ada yang bernasib baik, ada yang kurang. Ada yang kurang masuk akal metadologinya, ada yang efisien.
 
Ada yang taktikal dan sistemnya menarik, tetapi gagal atas sebab yang pernah saya utarakan dalam penulisan saya sebelum ini β€” pengkhianatan segelintir yang tidak punya etika.
 
Ada yang lebih mengutamakan pemain muda, tetapi keputusan yang diperolehi amat memberangsangkan. Jurulatih ini banyak membuka mata saya dari segi pendekatan beliau dengan pemain menerusi satu sistem motivasi yang cuba memahami minda anak muda, dan lebih kepada perkongsian berbanding arahan. Banyak yang saya pelajari menerusi kaedah jurulatih ini terutamanya aspek komunikasi yang efektif untuk menambat perhatian jiwa muda dalam pasukan.
 
Jurulatih ini kerap mengadakan sesi tayangan video bersama pasukan, bukan penerangan taktikal saja tetapi juga video yang memberi motivasi buat pasukan. Kadang-kala video yang ditayangkan bukan berkisar bola sepak pun, tetapi mengenai atlit sukan lain seperti bintang bola keranjang NBA, Michael Jordan dan langkah seperti ini memang memberi kesan positif buat pasukan.



Selain itu, jurulatih ini juga kerap berkongsi pengalamannya sendiri sebagai pemain mengenai bagaimana susah payah yang dilaluinya dengan berjalan kaki dari Setapak ke pusat bandaraya untuk menjalani latihan, serta pengalamannya bermain bersama legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari dan bagaimana arwah Mokhtar kerap memberi dorongan kepadanya sebagai seorang pemain muda ketika itu.
 
Pengalaman beliau bersama arwah Mokhtar secara tidak langsung turut membantu saya lebih memahami personaliti arwah yang kerap membantu pemain muda walaupun dia berada di kemuncak prestasi dan itu satu sikap terpuji yang boleh dijadikan contoh kepada generasi pemain hari ini.
 
Ada pula β€” yang ini agak menjengkelkan β€” agak kerap memanggil saya ke skuad utama di peringkat kebangsaan, tetapi kurang menurunkan saya untuk bermain. Ada satu ketika, dalam satu aksi getir yang amat memerlukan kemenangan, saya dimasukkan dengan segala harapan dan beban untuk mencari kemenangan diletakkan di bahu saya pada minit terakhir. 

Apa sangat yang boleh dilakukan. Ingat aku Ronaldo?! Kau panggil aku, but you don't play me. What's the freakin' point then?
 
Percayalah, bagi saya, semua ini pengalaman yang mematangkan. Tidak ada dendam pada sesiapa, tidak ada rasa jengkel yang berpanjangan. Semua ini saya anggap asam garam sebagai pemain, dan norma yang perlu diterima dalam konteks hubungan jurulatih dan pemain. Sudah tentu, ini memberi persediaan terbaik buat saya apabila melangkah ke bidang kejurulatihan apabila karier profesional saya berakhir. Bagi saya, cara yang akan saya terapkan tidak akan berteraskan kaedah ortodoks, tetapi lebih kepada pilihan keputusan yang tepat, adil serta sentiasa ada keinginan untuk belajar benda yang baru. Kerana bagi saya, no one knows everything. Kalau seseorang itu β€” tidak kira siapa pun anda β€” tidak mahu belajar sesuatu yang baru setiap hari, hidup ini tiada erti dan arah tujuannya.
 
Saya sudah lama sedar yang satu hari nanti, karier saya sebagai bola sepak akan berakhir. Cuba bayangkan jam pasir ataupun hourglass. Lihat bagaimana pasir itu secara perlahan turun ke ruang di bawah, mengosongkan ruang atas objek itu.
 
Begitulah karier seorang pemain bola sepak. Sedar tak sedar, akan tiba suatu masa di mana keputusan harus dibuat; persimpangan mana yang perlu diambil selepas bermain. Ada yang pernah mengatakan, seseorang atlet dan pemain itu mengalami kematian dua kali sepanjang hayat; kematian karier, dan kematian fizikal. Dan selalunya arah yang diambil oleh kebanyakan pemain ketika saat itu merenung tepat ke arah mereka adalah langkah yang paling logika, iaitu menjadi jurulatih.
 
Saya kagum melihat jurulatih seperti Nidzam Jamil, seorang yang berilmu, menghabiskan masa lapang dengan mempelajari teknik-teknik dari pakar serta memenuhkan ilmu menerusi bahan bacaan β€” pernah tengok library Nidzam? It's huge! Juga Nafuzi Zain, yang cuba mempelopori sistem permainan yang unik untuk pasukannya menerusi gaya permainan Nafuzi Ball β€” sangat menghiburkan. Jurulatih seperti inilah, pada pendapat saya, yang akan mengembalikan romantisisme dalam bola sepak Malaysia.



Tetapi, harus saya katakan, yang bagi saya, mungkin kenaifan ketika muda dahulu tidak salah jika diterapkan dalam bola sepak peringkat tertinggi. Semuanya berasaskan kejujuran dan kasih sayang, yang mana dua perkara ini makin pupus dalam sukan yang saya cintai ini.
 
Hakikatnya, kejujuran dan kasih sayang adalah sesuatu yang dunia, secara amnya, sangat perlukan ketika ini.

Masih aktif dalam bola sepak, Talisman Asrar berpengalaman di peringkat liga dan antarabangsa, dan kadangkala mempunyai peranan besar sebagai pengkritik kerusi malas.

Advertisement

Must Watch Video