Skip to main content

Advertisement

Rencana

Hikmah di sebalik 'kantoi' doping

firdaus-saiyadi.jpg
Dia pernah menggantung but dan dia pernah hampir mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak buat selamanya.

Itu kisah hidup pemain yang bernama Firdaus Saiyadi, anak jati Ipoh berusia 23 tahun yang pernah menjalani latihan bersama kelab Australia, Newcastle Jets pada 2014.

Ujian hidupnya sebagai pemain bola sepak profesional nyata lebih mencabar berbanding pemain lain setelah didapati positif ujian doping pada 2016.

Firdaus dijatuhkan hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM iaitu
penggantungan selama 2 tahun kerana menggunakan bahan terlarang methamphetamine stimulant hasil ujian rambang oleh Jawatankuasa Perubatan badan induk itu.

Hati dan perasaan Firdaus pastinya remuk dengan nasib malang yang menimpanya tatkala baru sahaja mahu mencipta nama dalam kancah bola sepak tempatan bersama skuad Perak.

Tidak terlibat dengan bola sepak secara aktif selama 2 tahun, banyak mengajar Firdaus, peluang diberi digunakan sebaiknya.

Firdaus bangkit daripada 'dosa' silam dengan menjadi watak penting The Bos Gaurus bermula pertengahan musim lalu sehingga berjaya membantu pasukan itu
akhiri kemarau 18 tahun merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

Rezeki tidak salah alamat buat pemain yang mesra disapa Fie ini apabila 
baru-baru ini dipilih membarisi skuad 25 pemain Harimau Malaya untuk persiapan Piala Airmarine 2019 yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Walaupun pernah menyertai skuad Harimau Muda, Firdaus bagaimanapun kali pertama dipanggil menyertai skuad senior kebangsaan sekali gus bakal menjadi pencapaian terbaik dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.

Apa pun, kisah kebangkitan Firdaus ini seharusnya menjadi pengajaran dan motivasi buat semua agar tidak berputus asa dalam kehidupan masing-masing jika dilanda musibah.

Akhir kata, semoga maju jaya buat Firdaus Saiyadi.
 

Advertisement

Must Watch Video