Skip to main content

Advertisement

Rencana

Hello Real Madrid, daripada Mourinho

hello-2.jpg
Laksana seorang oportunis dalam bola sepak, Jose Mourinho amat tajam dalam menghidu peluang dan memanfaatkannya.

Dengan menyimpulkan persembahan Real Madrid sebagai “lembik” dalam kekalahan 0-1 El Clasico kepada Barcelona awal pagi tadi, ‘The Special One’ mungkin secara tidak disedari menawarkan khidmatnya kepada kelab LaLiga itu sekali lagi.

Pada ketika pengurus, Santiago Solari, kini di bawah tekanan hebat, akhbar The Evening Standard mencadangkan Mourinho – jurulatih yang ketiadaan pasukan untuk dikendalikan sejak dipecat Manchester United tiga bulan lalu – mungkin kini dalam pertimbangan Real di samping Mauricio Pochettino.

Persekitaran di Santiago Bernabeu dan tuntutan tinggi di kelab ibu kota Sepanyol itu bukanlah asing buat Mourinho yang menduduki kerusi panasnya selama tiga musim dari 2010/11 hingga 2012/13, termasuk menjuarai LaLiga 2011/12, Copa Del Rey 2010/11 dan Supercopa de España 2012.

Pengurus berusia 56 tahun itu, yang tampil selaku penganalisis perlawanan pagi tadi untuk beIN Sports, mengulas: “Ia bukanlah satu persembahan menggembirakan. Ia bukan persembahan daripada sebuah pasukan yang gembira.

"Ia bukan persembahan sebuah pasukan dengan kepercayaan dan harga diri yang tinggi. Jelas sekali mereka kini berada dalam satu zon selepas beberapa keputusan buruk.

“Mereka tidak dapat membawa diri mereka ke suhu sebuah perlawanan besar, sebaliknya mereka begitu pasif.

“Saya tidak boleh bercakap mengenai satu persembahan buruk. Saya fikir ia hanyalah satu persembahan yang lembik.”

Jaringan tunggal minit ke-26 oleh Ivan Rakitic cukup untuk menjadi pemisah buat Barca yang menang di tempat lawan buat kali kedua dalam empat hari susulan kemenangan 3-0 dalam separuh akhir kedua Copa del Rey.

Real kini berjurang 12 mata dengan Barca di mercu carta LaLiga, yang mengekalkan Solari dalam kedudukan bahaya dipecat.

Tidak syak lagi Solari sedang di bawah tekanan. Jurulatih dari Argentina itu tampak seperti seorang yang patah hati selepas kekalahan 3-0 kepada Barca, Rabu lalu.

Awal pagi tadi pula, dia terpaksa melarikan diri daripada cemuhan penyokong.

Dia sedar kekalahan 1-5 kepada skuad Blaugrana itu di Camp Nou, Oktober lalu membawa kepada pemecatan Julen Lopetegui dan kekalahan terbaru ini memungkinkan nasib serupa ke atasnya pula.

Bekas presiden Real, Ramon Calderon, menambah bahang menerusi Twitter: “Saya mempunyai gerak hati bahawa musim depan, Jose Mourinho akan duduk di bangku Real Madrid.”

Malah, sewaktu Mourinho masih bersama United lagi, jurulatih berusia 56 tahun itu turut dipertimbangkan oleh Presiden Real, Florentino Perez, ketika Lopetegui dipecat.

Dengan Real kini terumbang-ambing dan Mourinho hanya berminat untuk kembali mengurus sebuah kelab besar, ia mungkin “hello” daripadanya buat juara bertahan Liga Juara-Juara itu.

Advertisement

Must Watch Video