Skip to main content

Rencana

Harimau Malaya penuh harmoni

nelo-vingada.jpg
Saat yang dinanti-nantikan sudah tiba, pertemuan di antara Harimau Malaya dan Lubnan malam ini akan menjadi kayu pengukur dan ujian buat pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu di bawah kepemimpinan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Perlawanan hari ini juga akan menjadi perhatian peminat yang inginkan perubahan dilakukan dalam membentuk sebuah skuad kebangsaan yang mantap selain mentaliti serta sikap setiap individu yang mewakili skuad Harimau Malaya kali ini. 

Itulah harapan peminat untuk melihat permulaan wajah baharu pasukan setelah sekian lama dipalit kekecewaan.

Satu tugas yang mencabar kepada Nelo Vingada dan pasukan kejurulatihan skuad Harimau Malaya kali ini kerana peminat inginkan satu corak permainan dan taktikal serta falsafah bola sepak baharu yang akan diterapkan oleh Vingada.

Namun, penulis tidak mengharapkan satu perubahan yang drastik dilakukan Vingada kerana kita juga perlu bersikap realistik lantaran pemain-pemain yang dipanggil merupakan pemain yang sama sebelum ini. 

Tetapi apa yang boleh dilihat dari segi karakter pemain-pemain dan keyakinan tinggi setiap individu dalam menguasai bola.

Mungkin ramai yang kurang yakin dengan kemampuan skuad kali ini kerana tiada perbezaan, namun jangan lupa ilmu dan pengalaman yang ada pada Vingada itu mampu membuat karakter pemain berubah serta wujud keharmonian yang lebih baik.

Itu yang membuat penulis yakin bahawa skuad kali ini mampu memulakan perubahan dari segi mentaliti dan seterusnya mengajak generasi akan datang terus mengorak langkah dan mengangkat martabat bola sepak negara. 

Ayuh sama-sama kita memberi sokongan kepada skuad negara malam ini.
 

Advertisement

Must Watch Video