Skip to main content

Rencana

Harap pun tidak guna - diari sukan 2019 Shahrazad Sani

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

moh-keen-hoo.jpg
Entri kali ini membawakan saya kepada satu lagi perkongsian pengalaman daripada Sukan SEA Filipina 2019.

Temasya dwitahunan ini sering kali memberikan peluang buat saya mendekatkan diri dengan sukan yang jarang diberi perhatian oleh media, snuker dan biliard.

Di Manila, ilmu saya ke atas sukan snuker berlipat ganda, terima kasih kepada tunjuk ajar daripada rakan jurukamera Astro Arena, Ezreen Isa.

Juga kerana kemahuan peribadi untuk membawakan liputan paling komprehensif buat sukan yang sering dilabel sebagai medium budak nakal.

Di sebalik pelbagai kekangan, snuker menyumbangkan satu pingat emas dan satu pingat perak buat kontinjen negara.

Kedua-duanya melibatkan Moh Keen Hoo, emas dalam acara berpasangan bersama Lim Kok Leong sementara perak hasil dia dalam acara individu.

Keen Hoo merupakan 'Otai' snuker Malaysia memandangkan penglibatan pertamanya di Sukan SEA adalah ketika berusia 16 tahun hasil penampilan di Hanoi pada 2003.

Malah, dia juga merupakan anak kepada antara ikon berpengaruh negara dalam sukan ini, Moh Loon Hong.

Memandangkan sukan ini dipandang sepi, secara semulajadinya soalan yang diajukan kepada Keen Hoo usai kempen di Manila adalah harapannya untuk masa depan snuker di Malaysia.

Berikut adalah transkrip penuh bicara hati ke hati Keen Hoo kepada soalan tersebut.

"Tak ada apa nak harap la, selalu harap apa pun tak dapat, harap buat apa, betul tak? Tengok apa diorang buat (Majlis Sukan Negara), itu sajalah yang saya boleh cakap, harap pun tak ada guna, tiap-tiap kali pun cakap saja tak jadi punya sampai sekarang saya sudah pergi China pun".

Keen Hoo kini memanjangkan kerjaya profesional di China yang menawarkan habuan lumayan dan pada asalnya tidak ada dalam perancangan untuk menjadi sebahagaian daripada kontinjen ke Filipina.

"Saya main Sukan SEA pun sebab Melvin (Melvin Chia, presiden snuker malaysia) panggil saya balik sebab tak ada orang main, kalau tidak saya pun tak main punya".

"Sebab saya cari makan di China okay, tak ada exposure tak ada apa tak pergi tournament, main dekat malaysia, mana boleh, semua sport sama lah, semua sama punya".

Keen Hoo juga meluahkan kekecewaan ke atas kelangsungan pembangunan sukan snuker yang semakin menghilang.

Berbeza ketika waktu dia mula mendekatkan diri dengan sukan ini sehingga menjadi pemain berkaliber.

Snuker pada Keen Hoo tidak akan dimanjakan dengan perhatian berbanding sukan tradisi dan perdana di Malaysia yang mudah mendapat peluang pendedahan.

"Sport yang selalu boleh naik cepat, itu selalu pergi main mana-mana punya kalau tak ada tak dapat punya".

"Masa saya kecik masa saya muda selalu dapat pergi sebab itu saya dapat sekarang punya standard".

"Sekarang mau pergi mana pun susah, bayar sendiri, selalu bayar sendiri tak ada hal, boleh main"

"Ini tahun saya pun tak ada sponsor, semua bayar sendiri menang jugak, semua kita bayar sendiri semua kita menang, apa ada hal, tak ada hal punya".

"You cakap apa mau harap, tak ada harap, tengok apa diorang buat".

Betul Keen Hoo, harapan selalunya membunuh, tetapi semangat anda memartabatkan snuker menerusi cara tersendiri akan satu hari menjadi legasi yang dikenang sepanjang zaman.

* Diari Sukan 2019 Shahrazad Sani adalah perkongsian peribadi terhadap kisah sukan kegemaran saya sepanjang tahun ini yang akan saya singkap sehingga tanggal 31 Disember. 
 

Advertisement

Must Watch Video