Skip to main content

Advertisement

Rencana

Hanya 45 minit tapi A+ buat Thiago

cover-pix-alcantara_1.jpg
Jurgen Klopp tersenyum dari telinga ke telinga. Di penghujungnya, dia berpelukan erat dengan Thiago Alcantara, pembelian terbarunya yang bernilai €30 juta (RM146 juta) daripada juara Eropah, Bayern Munich.

Ia baru perlawanan pertama pemain antarabangsa Sepanyol itu dalam jersi Liverpool. Biarpun hanya beraksi 45 minit, ia cukup untuk menyemarakkan harapan besar buat kem The Reds terhadap apa yang mampu ditawarkannya musim ini.

Ya, benar. Di Stamford Bridge, The Scousers meneruskan rekod 100 peratusnya dengan kemenangan 2-0 ke atas Chelsea hasil dua gol sumbangan Sadio Mane awal pagi tadi tapi segala tumpuan jelas sekali terarah kepada pemain berjersi nombor 6, Thiago, selaku ‘midfield maestro’ yang turun buat julung-julung kali.

Masuk mengambil tempat kapten, Jordan Henderson, dalam 45 minit kedua, dia melakukan 89 sentuhan terhadap bola – lebih daripada mana-mana pemain Chelsea sepanjang 90 minit.

OPTA yang merakamkan statistik seumpamanya sejak 2003, mendapati tiada pemain yang tampil hanya 45 minit, yang mencatat jumlah sentuhan lebih tinggi.

Seperti dilaporkan akhbar Daily Mail, persembahannya awal pagi tadi cukup untuk memberi bayangan apa dimensi berikutnya yang akan mampu dihadirkan anak-anak buah Klopp.



Ternyata ketibaan Thiago adalah tenaga tambahan yang tepat dan pada waktu yang bertepatan juga.

Dari saat dia diperkenalkan dalam perlawanan di Stamford Bridge itu, ia sudah pun terserlah apa yang mampu ditawarkannya buat Liverpool serta lonjakan yang diberikan terhadap permainan mereka dengan hantaran-hantaran tepatnya.

Segala-galanya seolah-olah dilakukan dengan satu sentuhan dan hampir semuanya menghala ke hadapan. Kepalanya sentiasa mendongak sambil matanya meliar ke merata ruang padang untuk membuka laluan buat rakan sepasukan.

Otaknya ligat berfikir yang disokong kelincahan kedua-dua belah kakinya. Kasihan Chelsea, yang tidak pun punya idea bagaimana hendak merantai pergerakannya.

Pelukan erat Klopp terhadap ayam tambatan terbarunya itu selepas wisel penamat tidak pun bermaksud memperkecilkan sumbangan pemain lain tapi lebih kepada kepuasan kerana pembeliannya kali ini amat bertepatan.

“Dia terbaik,” kata Klopp, yang menambah: “Ketibaannya juga tepat pada masa. Dia tidak biasa dengan cara pemikiran kami di samping Bayern juga bermain berbeza dengan kami.

“Ketika bertahan, ia mungkin sedikit mengelirukannya tapi dengan bola di kakinya, dia sentiasa mahu membuat hantaran.”

Semua itu, bagaimanapun, hanya permulaan ketika lawan belum biasa dengan gaya permainannya dan cara untuk dia dapat dihalang.



Dalam pada itu, semakin dia membiasakan diri dengan rentak Liverpool, semakin berbahaya mereka akan jadi sebagai sebuah pasukan juara bertahan.

Namun, daripada 45 minit permulaan itu, ia sudah cukup merangsangkan buat Klopp dan harus tambah membimbangkan buat lawan yang memasang angan-angan.
 

Advertisement

Must Watch Video