Skip to main content

Rencana

Hadoi! Tak kan Liverpool lagi?

clipboard01.jpg
Istanbul? Hadoi! Kota yang telah ditetapkan sebagai venue perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) itu pada 30 Mei tahun depan, macam menggamit kedatangan juara bertahan, Liverpool, sekali lagi.

Undian peringkat kumpulan di Monaco awal pagi tadi segera disusuli firma-firma pertaruhan yang mengangkat skuad The Reds itu selaku pilihan ketiga untuk mempertahankan kejuaraan pada kebarangkalian 13/2 – cuma sedikit di belakang Manchester City (10/3) dan Barcelona (5/1).

Tambahan di peringkat awal, Liverpool dapat mengelakkan Real Madrid dan Atletico Madrid dalam undian itu, sebaliknya dipertemukan jodoh semula dengan Napoli setelah kedua-duanya bersemuka di peringkat kumpulan musim lalu.

Barisan juara kendalian Jurgen Klopp itu akan turut melakukan perhitungan awal dengan Red Bull Salzburg dan Genk dalam Kumpulan E, yang di atas kertas, meluangkan laluan selesa buat The Scousers itu meneruskan kemaraan.



Kaitannya dengan Istanbul pula?

Ibu kota lama Turki itu akan sentiasa memenuhi ruang istimewa dalam hati pegawai, pemain dan penyokong Liverpool untuk mengimbau kenangan manis masa silam sambil dibuai kejayaan terkini sebagai menawarkan motivasi tambahan.

Kebetulan Istanbul yang menabalkan The Reds selaku juara Piala Eropah buat kali kelima pada 2005 di samping Piala Super Eropah buat kali keempat hanya dua minggu lalu ihsan kemenangan 5-4 dalam penentuan sepakan penalti ke atas Chelsea selepas terikat 2-2 hingga akhir masa tambahan.

Lama sebelum itu, sejarah terlakar pada 25 Mei 2005 apabila skuad bimbingan Rafa Benitez ketika itu bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk menewaskan AC Milan dalam penentuan sepakan penalti dalam satu pertembungan epik final Piala Eropah.

Daripada terbawa-bawa dengan keyakinan tinggi, Klopp yang mengikuti siaran langsung majlis undian itu di padang latihan pasukan di Melwood, memilih untuk lebih berdiplomasi dengan menarik perhatian ramai kepada Genk dan Salzburg yang mampu memberi kejutan.



“Saya perlu memerhatikan Genk dan Salzburg dengan lebih dekat di sebalik saya tahu mereka adalah barisan muda yang segar dan mengujakan, maka ia akan menjadi saingan yang menarik.

“Ia bukan satu kumpulan yang mudah, bukan juga satu kumpulan yang kami boleh bersembunyi di belakang sesiapa. Kami perlu mencuba segala-galanya untuk terus mara tapi dalam masa sama, kami tidak sabar menantikannya,” katanya seperti dipetik Metro UK.

Buat tahun kedua berturut-turut, Liverpool dan Napoli diundi untuk bertentang mata di peringkat kumpulan – tahun lalu The Reds tewas 0-1 di Naples sebelum menterbalikkan keputusan itu di Anfield.

“Napoli lagi! Saya tidak tahu sudah berapa kerap kami menghadapi Napoli, mereka sebuah pasukan berpengalaman. Ketika kami menang 5-0 dalam pramusim di Dublin (tahun lalu), saya tidak terlalu kisahkan keputusan itu. Tahun ini pula, kami tewas 3-0 dan itu menunjukkan betapa bagusnya mereka.”

“Kami mempunyai secukupnya masa untuk melakukan persiapan dan saya berasa bersemangat menantikan saingan musim ini. Seperti semua orang tahu, semua orang di Liverpool menikmati Liga Juara-Juara, maka ia akan menjadi hebat. Dan kami akan melakukan sebaik-baik yang kami mampu.”

Di sebalik sikap berdiplomasinya itu, Klopp juga tidak harus dipersalahkan andai berpandangan jauh ke Istanbul dengan barisan juaranya semakin diperkuatkan musim ini.



Jadual Liverpool dalam UCL:

17 September - Napoli lwn Liverpool
2 Oktober - Liverpool lwn Salzburg
 23 Oktober - Genk lwn Liverpool
5 November - Liverpool lwn Genk
27 November - Liverpool lwn Napoli
10 Disember - Salzburg lwn Liverpool

Advertisement

Must Watch Video