Skip to main content

Rencana

Greenwood vs Saka, siapa lagi hebat?

greenwood-vs-saka.png
Umur baru 18 tahun, tapi sudah mampu rampas tempat pemain bertaraf dunia!

Kalau tanya penulis, tiada jawapan untuk persoalan tersebut, kerana kedua-dua pemain ini sudah berada di ‘level’ lain untuk kelab masing-masing.

Dua prospek paling hangat diperkatakan ketika ini, bintang muda Manchester Utd dan Arsenal, Mason Greenwood dan Bukayo Saka sedang meniti tahun paling indah sebagai pemain bola sepak.

Lebih manis, kedua - dua pemain ini merupakan produk dari akademi; Greenwood bermula sejak umur 6 tahun di Carrington manakala Saka bermula di Hale End sejak berumur 8 tahun.

Musim ini, Greenwood sudah menjaringkan 15 gol daripada 41 penampilan untuk semua kejohanan. Paling terbaru, 2 gol yang dijaringkan menggunakan kaki kiri dan kanan ketika menewaskan Bournemouth hujung minggu lalu.





Saka pula merupakan penyumbang bantuan gol paling banyak pasukan Arsenal musim ini, 12 ‘assists’ hasil 34 penampilan selain gol pertama Liga Perdana Inggeris ala-ala ‘half-volley’ Zinedine Zidane ketika menewaskan Wolves baru-baru ini.

Ole Gunnar Solskjaer pernah mengeluarkan kenyataan yang Greenwood merupakan pemain yang mempunyai nisbah kaki 51:49, yang bermaksud, kedua-dua kakinya hidup untuk melakukan rembatan, sepakan percuma mahupun penalti.

Saka pula lebih flexibel bermain lebih 3 posisi musim ini dengan cukup cemerlang; bermula dari sayap, kemudian pertahanan kiri, pemain tengah sayap dan penyerang sayap, dengan dominan di sebelah kiri.





Greenwood merekod debut pada 6 Mac 2019 di pentas Liga Juara-Juara Eropah menentang PSG pada umur 17 tahun 156 hari; pemain kedua paling muda dalam sejarah kelab, mengatasi legenda Gary Neville yang melakukannya 28 tahun lepas.

Saka pula lebih awal melakukan debut; pada 29 Nov 2018 di pentas Europa League ketika menetang kelab Ukraine, Vorskla Poltava pada usia 17 tahun 86 hari, namun jauh dari rekod pemain paling muda kelab Cesc Fabregas yang ketika itu beraksi pada umur 16 tahun 177 hari.

Saka kini memainkan peranan di posisi yang biasanya diisi Mesut Ozil, manakala Greenwood menolak keluar Jesse Lingard dari kesebelasan utama.

Robin Van Persie pernah mengeluarkan kenyataan yang memuji potensi kedua-dua pemain ini

“Kerja berpasukan yang bagus ketika gol pertama, gerakan bijak, sentuhan pertama yang lembut dan penyudah yang menakjubkan dari Greenwood,” tulisnya di akaun Twitter ketika menentang Bournemouth.

Sementara itu, dia turut memuji Saka beberapa bulan lepas dengan turut membandingkannya dengan legenda Arsenal Dennis Bergkamp. “Hantaran Saka berkelas dunia. Ia dilihat seperti mudah buatnya. Dia boleh bermain sebagai pertahanan, pemain tengah dan sayap. Permainannya sungguh seronok untuk ditonton.”

Persoalannya sekarang, mampukah kedua-dua pemain ini mengekalkan rekod cemerlang musim ini sehingga mampu mengetuk pintu Gareth Southgate untuk dipanggil dalam skuad kebangsaan England?

Kalau ada rezeki lebih, mana la tahu terpilih ke kejohanan EURO tahun depan.

Advertisement

Must Watch Video