Skip to main content

Rencana

‘Gold Coast Pak Long sampai!’

hafizal3.jpg
Selepas Glasgow empat tahun lalu, edisi kali ini singgah di Gold Coast, bandaraya yang menjadi tuan rumah edisi ke-21 selepas menang dalam perebutan hak selaku tuan rumah mengatasi wakil Sri Lanka, Hambatota.

Seperti kebiasaannya, kami warga Astro Arena hadir di kota raya pesisir pantai ini dengan misi memberikan liputan terbaik dan komprehensif untuk anda semua, peminat sukan tanah air.

Bagi saya pula, edisi ini melengkapkan ‘Ijazah Liputan Sukan’ kerana sebelum ini, Sukan Komanwel adalah satu-satunya temasya sukan besar yang masih hilang daripada senarai penglibatan saya.

Kebetulan, saya diberi peluang untuk menjadi pengacara kepada upacara pembukaan Sukan Komanwel kali ini, berpasangan dengan Suzana Basri.

Walaupun nampak mudah, persiapan di sebalik tabir sebenarnya memang teliti. Bayangkanlah ketika menuju malam pembukaan, persiapan dibuat memerlukan kerjasama padu – bukan sahaja kami di sini, tetapi juga membabitkan pasukan penerbitan di Kuala Lumpur.

Itu belum lagi diambilkira persiapan dan kerja ‘around the clock’ rakan-rakan di program berita Nadi Arena demi memastikan saluran tambahan 800/803HD sentiasa memberikan informasi terkini untuk semua peminat sukan.





Berbalik kepada hari pembukaan, saya dan Suzana Basri pada tengah hari terlebih dahulu ditugaskan ke pantai Kurrawa. Di tepi pantai itu terletaknya posisi untuk kami membuat lintas langsung, dengan berlatar belakangnya pantai Broadbeach serta beberapa bangunan pencakar langit.

Sebaik selepas, kami bergegas semula ke Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) untuk bersiap sedia sebelum mengacarakan upacara pembukaan itu.

Ia menyaksikan kami ‘mengawal’ lintas langsung bersama Intan Nor Saina dan Zulhelmi Zainal Azam di Stadium Carrara, selain Ahmad Shahrazad Sani di Surfer’s Paradise dan Amira Ibrahim di Victoria Square buat merakamkan suasana pesta sempena upacara itu.





Alhamdulillah, semuanya berjalan lancer. Rasa teruja memuncak apabila melihat perarakan masuk kontinjen negara. Aura Negaraku Malaysia nyata terasa dengan ulasan penuh patriotik daripada Hj Shaukei Kahar dan Akbar Sahari.

Semua itu menggambarkan permulaan baik untuk kita semua. Ditambah pula berita atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie, berjaya menjadi penyumbang pingat emas negara, ianya memang membanggakan.

Ayuh kita nantikan lebih kerap lagi lagu Negaraku berkumandang di bumi Gold Coast kali ini. Sekian dahulu daripada Pak Long.

*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara di Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita Nadi Arena 800/803HD

Advertisement

Must Watch Video