Skip to main content

Rencana

Giliran Solskjaer bercakap, pengkritik kena dengar

asmawi-(2)-cover.jpg
Akhirnya segala yang terpendam dalam hati Ole Gunnar Solskjær terhambur jua.

Sinis bunyinya apabila pengurus Manchester United itu ‘memulangkan paku buah keras’ kepada pengkritik pasukannya dengan pernyataan bahawa segala kata-nista mereka menjadi perangsang terbaik buatnya.

“Ia seolah-olah anda tidak menjangkakan ini, segala ramalan (adalah untuk United) di tangga keenam atau ketujuh. Itu tidak mengapa. Jika saya dikritik, itu membuatkan saya lebih kuat.

“Tolong jangan terlalu memuji saya kerana ia boleh membuat (saya) alpa,” katanya sejurus The Red Devils mengesahkan tangga ketiga dek kemenangan 2-0 di laman Leicester City awal pagi Isnin.

Dengan kemaraan ke saingan Liga Juara-Juara (UCL), ia mengisahkan satu perubahan nasib yang besar buat United dari awal tahun ini hinggalah ke penamat musim.

Pernah pada penghujung Januari, mereka terpisah enam mata dengan Chelsea di tangga keempat. Pada 30 Januari, United berjurang 14 mata dengan Leicester di tangga ketiga.

Tambahan pula apabila mengenangkan kedudukan Solskjaer sendiri yang sangat genting sebelumnya apabila gambarannya ketika itu seolah-olah barisan pemainnya tidak akan termampu layak untuk mengecapi saingan bola sepak Eropah.



Namun, peningkatan ketara kemudiannya bukan sekadar menyelamatkan jawatannya, malah menyerlahkan musim ini sebagai satu kejayaan sambil dia berkira-kira untuk terus membina legasinya bersama kelab tersohor itu.

Sepanjang tempoh sukar itu, United membuat permulaan terburuk dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak musim 1989/90 – The Red Devils sekadar meraih sembilan mata daripada tujuh perlawanan pertamanya hingga laungan untuk Solskjaer dipecat semakin lantang kedengaran.

“Saya turut tidak terhindar (daripada ramalan ramai) dan sebilangan kakitangan pasukan turut membincangkannya,” katanya seperti dipetik akhbar The Guardian.

“Untuk menamatkan saingan di tangga ketiga dengan skuad ini, di mana kami sedang membina semula pasukan, adalah satu pencapaian hebat oleh semua orang.

“Kami telah banyak meningkat sebagai sebuah pasukan. Untuk menang perlawanan ini (ke atas Leicester) adalah menakjubkan secara mental selepas tewas dua perlawanan separuh akhir musim ini (Piala Carabao dan Piala FA),” tambahnya.

Solskjaer turut ditanya sama ada kemajuan United di bawah pengawasannya membuktikan dia adalah jurulatih paling tepat untuk mencabar Liverpool dan Manchester City.

“Ia satu cabaran yang sangat besar,” katanya, “Saya percaya dengan apa yang saya lakukan dan apa yang sudah terlaksana.

“Kita semua punya idea berbeza dalam pengurusan. Saya lakukannya dengan cara saya. Saya tidak akan katakan saya bukanlah orangnya kerana saya yang memegang tanggungjawab ini.”

Solskjaer terserlah sebagai mesra media sepanjang musim ini di samping bersikap terbuka dalam semua sidang medianya tapi ia juga bukan memeranjatkan untuk tutur-katanya terhadap pengkritik terhambur dari mulutnya.

Mereka tidak akan sewenang-wenang menggelarnya ‘pembunuh’ (assassin) dan sehingga ke hari ini pun, bekas-bekas rakan sepasukannya bertegas bahawa dia tidak akan menaruh sebarang belas kasihan apabila keadaan memerlukannya demikian.

“Kami akan terus mendaki peningkatan dan kami miliki sebuah pasukan yang anda boleh sukai. Anda boleh melihat DNA Manchester United. Sekurang-kurangnya itu yang saya rasa,” kata Solskjaer lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video