Skip to main content

Rencana

Giliran L'architetto tinggalkan bola sepak

pirlo_1.jpg
Andrea Pirlo telah mengumumkan bakal bersara pada Disember ini dan dia akan  mengakhiri karier sebagai salah seorang legenda dan memiliki keunikan yang tiada tandingan.
 

Itali telah menghasilkan beberapa pemain tengah yang berkualiti. Valentino dan Sandro Mazzola, Gianni Rivera, Giancarlo Antognoni, Marco Tardelli, Rino Gattuso, Daniele De Rossi – dan ramai lagi. Tetapi hanya seorang pemain yang paling menyinar dalam kalangan ini, iaitu Pirlo.
 
Sejak membuat penampilan sulung dalam saingan Serie A bersama Brescia ketika berusia 16 tahun, Pirlo telah berjaya membuat penonton terpukau dengan aksinya di atas padang.
 
Walaupun tidak seperti Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo -- yang melakukan gerakan lincah serta muncul sebagai mesin penyudah untuk pasukan masing-masing, Pirlo tetap menjadi salah seorang pemain yang unik.
 
Menyaksikan L'architetto (Si Arkitek) merencanakan serangan ke arah kubu lawan dan menyempurnakan sepakan percuma yang diambilnya bagaikan satu seni.
 
Ketika bersama Milan, Pirlo merupakan nadi kepada kelab yang satu ketika dahulu mendominasi saingan Liga Juara-Juara (UCL).
 
Bergandingan bersama Gattuso, Clarence Seedorf dan Kaka, Milan berjaya mara ke final sebanyak tiga kali, separuh akhir dan suku akhir dalam tempoh lima tahun dan memenangi dua gelaran berprestij itu.
 
Berkhidmat untuk The Azzuri, Pirlo bersama rakan sepasukan menamatkan penantian 24 tahun untuk menjulang Piala Dunia buat kali keempat pada tahun 2006.
 
Muncul sebagai pemain yang menjaringkan gol pertama Itali ketika bertemu Ghana, melakukan bantuan jaringan untuk gol penyamaan Marco Materazzi dalam aksi final sebelum menyempurnakan kemenangan ke atas Perancis menerusi penentuan sepakan penalti.
 


Seperti mana pemain-pemain hebat yang lain, dia membuktikan kepada pengkritiknya bahawa Pirlo masih lagi berbisa selepas Milan menamatkan khidmatnya pada 2011, dia kemudian menyertai Juventus dan membantu pasukan tersebut bangkit daripada krisis Calciopoli dan meraih kejuaraan Scudetto tanpa tewas dalam sebarang perlawanan Serie A pada musim 2011-12.
 
Dinobatkan sebagai pemain terbaik Serie A untuk dua musim berturut-turut (2012-2014), dia berjaya membantu Juve untuk mencipta kejayaan yang tersendiri, The Old Lady kini mendominasi saingan domestik di Itali dengan merekodkan kemenangan takhta liga sebanyak enam kali berturut-turut.
 
Pirlo telah mewarnai bola sepak dengan seni dan gaya permainannya yang tersendiri. Hampir mencipta kejayaan dalam kejohanan untuk kelab dan negara, enam Scudetti, dua UCL, Piala Dunia dan Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun.
 
Terdapat pihak yang menyatakan dia berhak untuk memenangi Ballon d’Or pada 2012 jika Itali tidak tewas dalam saingan Euro 2012 kepada Sepanyol 4-0 dalam final.
 
Apa yang pasti, tidak akan ada pemain yang unik seperti Pirlo, bukan sahaja dalam kalangan pemain tengah terbaik dunia, tetapi seni yang dipamerkannya akan sentiasa menjadi kenangan.

Advertisement

Must Watch Video