Keputusan Frenz United untuk berehat daripada bola sepak Malaysia pada hujung tahun ini boleh ditafsirkan dari pelbagai sudut.
Pemiliknya, Rashid Maidin, menegaskan ekosistem tempatan tidak menggalakkan pertumbuhan pesat untuk akademi swasta, ditambah pula wujudnya lompong besar berikutan tiadanya satu liga remaja yang kompetitif.
“Kami bersedia kembali apabila bola sepak di Malaysia diuruskan secara profesional dan liga tempatan diswastakan serta diurus oleh satu entiti yang bebas,” Rashid dipetik sebagai berkata.
Penulis secara peribadi berasa kecewa dengan senario ini.
Mengikuti perkembangan Frenz sejak pelancaran Trofi Frenz di Janda Baik pada Mei 2012, seperti yang tertulis di pautan http://www.goal.com/en-sg/news/3883/features/2012/05/15/3097303/rizal-hashim-rashid-maidin-owner-of-frenz-united-football, penulis berasa was-was sama ada projek bercita-cita besar itu mampu atau tidak untuk bertahan lama.
Ini di sebalik keyakinan Rashid ketika berucap empat tahun lalu.
“Cita-cita paling utama Frenz ialah membentuk pasukan yang bertaraf dunia untuk bersaing di peringkat paling tinggi,” katanya di depan hadirin termasuk Presiden Frenz United FC, Datuk Noor Ihsan Abdul Hamid, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika itu, Datuk Azzuddin Ahmad dan jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee.
Sejajar matlamat Frenz dalam mencatur pembangunan akademi secara profesional, Rashid, anak jati dari Singapura yang mengurus perniagaan arang batu, pembalakan, logistik, perkapalan dan perhotelan, menjadikan sebidang tanah yang dahulunya berstatus pertanian, untuk menghidupkan satu impian murni.
Sekelompok anak muda dihimpun di satu kawasan di Janda Baik untuk diberi biasiswa latihan dan pendidikan formal dalam membentuk mereka menjadi pemain bola sepak berkaliber. Benih yang disemai pada 2011 harus tumbuh menjadi pohon membekalkan hasilnya.
Bagi melonjakkan namanya di mata masyarakat, Piala Antarabangsa Frenz (FIC) dianjurkan dengan penyertaan Slovakia, Slavia Praha, Persepolis, Incheon FC, Chonburi FC, Frenz United Malaysia dan Indonesia serta skuad Malaysia.
Edisi 2015 menampilkan nama-nama besar seperti Estudiantes, Internacional, Porto, Liverpool, Besiktas, Tottenham Hotspur, Feyenoord, Kashima Antlers dan Gamba Osaka serta disiarkan secara langsung atau tertunda di negara-negara terbabit.
FIC digilap menjadi satu jenama dan satu pertandingan yang harus dinanti-nantikan remaja seluruh dunia. Malangnya putaran waktu menentukan FIC tidak sekental Kejohanan Jemputan Toulon di Perancis atau sehebat Piala Gothia di Gothenburg, Sweden.
Selain berdepan cabaran dan kekangan dalam ruang lingkup sosio-budaya di Malaysia, Frenz harus bermuhasabah diri.
Apakah jutaan ringgit yang dibelanjakan dengan membawa kepakaran teknikal berbaloi? Gaji besar kepada individu-individu tertentu tidak semestinya menjamin pulangan kepada mereka.
Frenz juga harus sedar jika ia mahu bangkit semula untuk mewarnai bola sepak tempatan dan merevolusi cara pemikiran pengamal sukan itu, ia harus menjadi model pengurusan profesional untuk dijadikan ikutan. Budaya kerja yang diterapkan harus profesional.
Frenz tidak boleh dipandu atas dasar kawan atau pertalian darah semata-mata.
Dalam kawasan tanah gambut yang sememangnya tidak diurus dengan baik, tentu sekali pemilik tanah tidak mampu menanam akar teguh untuk menghasilkan pohon dengan hasil rimbunan yang lumayan.
Rashid dan saudara-maranya harus berusaha membuat penanaman semula di tanah yang sama.
Malangnya tuan tanah sendiripun bukanlah bijak sangat!