RENCANA
Final Ronnie-Messi dinanti-nanti
Sejurus Cristiano Ronaldo menyumbat ketiga-tiga gol untuk menyingkirkan Atletico Madrid dalam laluan ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), pasangannya Georgina Rodriguez, yang menyertai penyokong di Turin, berlinangan air mata.
Ibu kepada anak perempuan pertama pasangan itu, Alana Martina, yang baru berusia empat bulan, tidak dapat menahan sebak gara-gara Ronaldo berjaya mengotakan janjinya untuk menyumbat hatrik awal pagi Khamis lalu.
Seperti Georgina dan penyokong Juventus yang lain, harus ada satu lagi yang mereka hajati – Ronaldo berdepan Lionel Messi dalam final UCL di Wanda Metropolitano, Madrid, 1 Jun depan untuk diungguli skuad I Bianconeri itu kesudahannya.
Iklan
Dan, ia bukan sekadar fantasi pada peringkat ini.
Tuah undian di Nyon, Switzerland, Jumaat lalu memisahkan Juventus dan Barcelona dalam kelompok berbeza yang menghindarkan pertemuan kedua-duanya dalam suku akhir dan separuh akhir kecuali dalam final.

Kebetulan kedua-dua megastar bola sepak dunia itu memainkan peranan besar dalam kemaraan pasukan masing-masing untuk Juventus dipadankan dengan Ajax dalam suku akhir manakala Barca mendapat jodoh Manchester United.
Seterusnya pemenang perlawanan Juventus/Ajax akan berdepan pemenang Tottenham Hotspur/Manchester City sambil pemenang Barcelona/United akan melakukan perhitungan dengan pemenang Liverpool/Porto.
Untuk rekod, Ronaldo dan Messi, di samping sudah kerap berdepan dalam El Clasico Sepanyol, hanya pernah bersemuka tiga kali dalam UCL sebelumnya – dua daripadanya sewaktu penyerang Portugis itu bersama juara tiga kali, Manchester United.
Musim 2007/08 menemukan Barcelona dan United dalam separuh akhir yang menyaksikan kekalahan skuad Los Cules itu.
Messi, bagaimanapun, menebusnya dengan memenangi final 2009 di Rome – kemenangan 2-0 ke atas United dengan satu gol Messi hasil tandukan mengagumkan -- disusuli kejayaan menyingkirkan Real Madrid yang dibintangi Ronaldo dalam separuh akhir 2011.
Namun, dalam perlawanan akhir UCL, Ronaldo-Messi hanya pernah berdepan cuma sekali di Rome itu.
Barangkali perjalanannya masih jauh tapi tidak salah untuk peminat berangan-angan – selama ini mereka dinafikan pertemuan Real Madrid/Barcelona dalam final UCL – untuk final Juventus/Barcelona diharap menjadi kenyataan.
Itu akan menyaksikan Ronaldo dan Messi bersingsing lengan semula dalam satu final peringkat Eropah buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun ketika usia masing-masing sudah menginjak 34 dan 32 tahun.
Mengambil kira Ronaldo – selepas hatriknya menentang Atletico awal pagi Rabu lalu -- melontarkan cabaran buat Messi yang dijawab kapten Barcelona itu dengan dua gol dan dua bantuan jaringan ke atas Lyon hanya 24 jam kemudian, pertembungan kedua-duanya dalam perlawanan kemuncak harus amat dinanti-nantikan.
Bolehkah penyokong Ajax, Spurs, City, United, Liverpool dan Porto merelakan itu berlaku?
“Ia akan menjadi sesuatu yang benar-benar istimewa untuk pertemuan Barcelona menentang Juventus dalam final,” kata pengulas beIN Sports, Jose Mourinho, yang boleh mendakwa mewakili kedua-dua Porto dan United.
“Dua pasukan hebat yang tidak berapa berjaya dalam Liga Juara-Juara buat beberapa tahun ini, sudah tentu Juventus lebih lagi daripada Barcelona.
"Dan diketuai dua pemain terhebat, Cristiano dan Messi, ia adalah sesuatu yang saya tidak mahu berlaku dalam suku akhir, saya lebih rela menanti lebih jauh daripada itu,” katanya seperti dipetik akhbar The Mirror UK.
Must-Watch Video