Skip to main content

Rencana

Final Piala FA Sabtu ni..

asiana-selangorpahang.jpg
"Bila final?", "Sabtu ni final?", "Dah final?", itu soalan-soalan yang banyak saya terima daripada rakan-rakan jika bercakap mengenai aksi final Piala FA 2018.

Malah, di laman media sosial kini juga kecoh mengenai sambutan hambar terhadap perlawanan akhir itu. Tidak tahu di mana silapnya, bahang perlawanan jelas tidak dirasai walaupun ia menemukan dua pasukan hebat dan penuh tradisi, Selangor menentang Pahang.

Kedua-dua pasukan akan berentap di lokasi yang cukup ikonik iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil yang sepatutnya mendapat sambutan hebat dan mencetuskan keghairahan peminat, namun perkara sebaliknya berlaku apabila ia tidak berada dalam pengetahuan mereka.

Sebelum ini, kita juga dapat lihat penyokong-penyokong sanggup bermalam di stadium, beratur panjang dan berasak-asak untuk mendapatkan tiket, namun situasi itu tidak berlaku menjelang final kali ini di mana jualan tiket final antara Pahang dan Selangor juga kurang mendapat sambutan.

Di Kuantan baru-baru ini, kira-kira 50 penyokong skuad Tok Gajah yang beratur untuk mendapatkan tiket sebelum kaunter jualan dibuka jam 9.30 pagi dan tinjauan mendapati selepas 10 minit, lapan kaunter yang disediakan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) lengang walaupun tiada had pembelian tiket.

Situasi sama berlaku di Stadium Shah Alam di mana tiada lagi 'tsunami' jualan tiket perlawanan akhir walaupun Selangor kembali membuat penampilan di pentas final selepas kali terakhir sembilan tahun yang lalu, pada 2009.

Dalam pemantauan saya, sambutan terhadap Liga Malaysia musim ini mula merosot apabila beberapa perlawanan liga diadakan pada bulan ramadhan iaitu pada Mei dan Jun lalu. Kemudian saingan liga kembali bersambung namun, rata-ratanya dalam 'mood' raya.

Kemuncaknya apabila demam Piala Dunia melanda warga bola sepak tanahair sekaligus menenggelamkan kerancakan saingan bola sepak tanahir sehingga ada pihak yang melabel bola sepak Malaysia sudah mati!

Mendukacitakan, ia berlaku ketika perlawanan besar akan berlangsung iaitu aksi final Piala FA dan saya tidak menolak kemungkinan pertemuan kali ini bakal mencatat sejarah kehadiran penyokong paling sedikit dalam sejarah bola sepak tanahair.

Apa pun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua pasukan, Selangor dan Pahang dan suka sekali lagi saya ingatkan aksi final Piala Fa, Sabtu ini, 7 Julai 2018!

Imej: Asiana

Advertisement

Must Watch Video