RENCANA
Felda United pergi tak kembali
Kenyataan rasmi Felda minggu ini mengenai pembubaran Kelab Bola Sepak Felda United (FUFC) dan penarikan diri daripada saingan Liga Malaysia bermula musim 2021 jelas satu perkembangan yang sedih pada penulis.
Selepas 13 tahun mewarnai kancah bola sepak tempatan, akhirnya 'The Fighters' bakal mengikut jejak beberapa kelab sebelum ini yang sudah dibubarkan seperti MPPJ Selangor, Public Bank Selangor, KL Plus dan juga UPB MyTeam.
Lebih mendukacitakan pengurusan FUFC musim ini sebenarnya sudah pun memastikan kelab itu antara 10 pasukan di Liga Super yang lulus lesen kelab kebangsaan untuk saingan musim 2021.
Iklan
Dalam kenyataan media 5 Oktober lalu,ia hanya menjelaskan mengenai pengambilalihan penuh pentadbiran FUFC dan anak syarikartnya The Figthers Sdn Bhd oleh Felda.
Tujuan utama pengambilalihan oleh Felda adalah bagi mengawal perbelanjaan serta memastikan penyelarasan program-program sukan yang dirancang serta dilaksanakan patuh kepada garis panduan pengurusan pentadbiran, prosedur perolehan,pengurusan kewangan serta penilaian risiko.
Secara peribadi, penulis berasa pelik dengan pendekatan pucuk pimpinan Felda untuk menutup terus FUFC memandangkan mereka juga antara segelintir pasukan yang memiliki stadium sendiri iaitu Stadium Tun Razak di Bandar Baru Jengka.
FUFC juga sebelum ini pernah muncul antara pencabar utama dalam saingan Liga Super,Piala FA dan Piala Malaysia serta kehadiran mereka sebelum ini turut menghangatkan saingan tempatan.
Sebelum ini kedengaran desas desus pucuk pimpinan Felda hanya tidak mahu FUFC menggunakan nama Felda namun tindakan menarik diri daripada saingan Liga M musim depan tampak agak mengejutkan.
Penulis difahamkan ketua jurulatih Nidzam Jamil dan beberapa orang pemain yang masih mempunyai kontrak semusim lagi,akan dibayar pampasan untuk menamatkan kontrak mereka.
Yang menjadi persoalan ialah jika pengurusan Felda tidak mahu lagi memberi sokongan kepada FUFC mengapa perlu mengambil alih pentadbiran mereka dan menarik diri daripada saingan Liga M?
Mengapa tidak menjual saja kelab tersebut kepada syarikat atau individu berminat dan berkemampuan tatkala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini memperjuangkan penswastaan pasukan daripada FA ke FC, selaras dengan saranan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Ketika ini FUFC adalah antara pasukan kelab paling lama dalam saingan Liga M dan jika ia berkubur, memang penulis melihat ia satu kerugian buat bola sepak tempatan tanpa pembabitan kelab ini.
Walau apa sekalipun yang mejadi faktor utama mendorong pucuk pimpian Felda untuk tidak mahu FUFC terus beraksi di Liga M, penulis beranggapan ia keputusan yang bukan meletakkan bola sepak sebagai keutamaan.
Must-Watch Video