Skip to main content

Rencana

Faktor luaran mampu beri kesan

ong-kim-swee.jpg

Dalam lima edisi Piala Suzuki AFF yang pernah penulis terbabit membuat liputan sejak 2004, penulis perlu mengakui persiapan barisan kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk edisi 2016 amat merisaukan.

Terlalu banyak faktor luar padang yang mungkin akan memberikan kesan kepada persembahan Harimau Malaysia, dalam saingan Kumpulan B Piala AFF di Yangon, November ini.

Advertisement

Ia bermula dengan persaraan peringkat antarabangsa mengejut empat pemain tonggak dari kelab Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal, Julai lalu.

Pengurusan JDT kemudian mengarahkan tiga pemain JDT II, Zaquan Adha Abdul Radzak, Irfan Fazail dan Darren Lok untuk keluar dari kem latihan pusat pada 26 September lalu.

Hujah pengurusan JDT adalah peraturan FIFA hanya mewajibkan kelab melepaskan pemain untuk tugasan antarabangsa empat hari sebelum aksi persahabatan antarabangsa.

Memang benar mengenai peraturan FIFA, namun Kim Swee mahu menghimpun pemain lebih awal untuk aksi berdepan Singapura serta Afghanistan pada 7 dan 11 Oktober, yang juga fasa persiapan akhir sebelum ke Piala Suzuki AFF.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kemudian secara terbuka menyuarakan rasa kurang yakin dengan kelibat Kim Swee selaku pengendali kebangsaan menerusi kenyataan di laman web Johor Southern Tigers 30 September lalu.

Kim Swee hanya berupaya mengumpul kesemua 30 pemain yang dipanggil untuk aksi dengan Singapura pada 3 Oktober lalu.

Penulis juga berasa sedikit janggal apabila tiada sebarang tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memastikan Kim Swee mampu melaksanakan tugasnya tanpa sebarang gangguan.

Bagi penulis, tugasan buat negara harus dijadikan keutamaan buat kesemua pemegang taruh bola sepak tempatan tanpa mengira siapa pengendali skuad kebangsaan.

Menurut seorang kenalan penulis yang juga wartawan bola sepak di Thailand, pengendali skuad negaranya, Kiatisuk Senamuang, turut meminta pelepasan awal pemain daripada kelab-kelab mereka dan dia mendapat sokongan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).

Dan ini adalah Thailand, juara bertahan Piala Suzuki serta kini sedang bersaing dalam pusingan akhir kalayakan Piala Dunia 2018.

Difahamkan skuad kebangsaan Vietnam kini juga sedang menjalani latihan dan aksi persahabatan di Korea Selatan, manakala Myanmar pula menjalani latihan  dan aksi persahabatan di Eropah, yang menunjukkan mereka serius menghadapi Piala Suzuki tanpa sebarang gangguan luar.

Penulis kini hanya berharap, akan melaporkan perkhabaran positif skuad negara di Singapura apabila barisan negara berdepan Republik itu 7 Oktober ini yang mampu memberi bayangan kekuatan Harimau Malaysia di Piala Suzuki kali ini.

Kim Swee dan anak buahnya perlu juga menjelmakan perwatakan yang kuat apabila bersaing di Piala Suzuki bagi memastikan maruah negara tidak terjejas di peringkat serantau dan tiada malapetaka lagi buat bola sepak Malaysia.

Must Watch Video