Skip to main content

Rencana

Empat sebab United berjaya atasi Juventus

manchester-united.png
Aksi keempat Liga Juara-Juara musim 2018-19 telahpun berakhir dan seperti yang dijangka, ia menawarkan perlawanan-perlawanan yang menarik -- beberapa pasukan telah memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya manakala terdapat juga yang mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Eropah itu.
 
Antara perlawanan yang dinantikan seluruh peminat bola sepak di dunia adalah perlawanan Kumpulan H, Juventus menerima kunjungan Manchester United di Stadium Juventus di Itali. Ia merupakan perlawanan buat Cristiano Ronaldo serta Paul Pogba berdepan bekas majikan mereka sementara sejarah melibatkan Jose Mourinho selaku bekas pengendali Inter.
 
Juventus hadir ke dalam perlawanan dengan rekod 14 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan dan menyerlahkan mereka selaku pasukan pilihan mengatasi United. Kemenangan 1-0 Old Lady di Old Trafford dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan dua minggu lalu juga menyaksikan mereka di  landasan terbaik untuk mengulanginya.
 
Juve mendominasi permainan dan mendahului menerusi jaringan voli gemilang Ronaldo pada minit ke-65.
 
Pada penghujung permainan, United mengulangi kejayaan 1999 ke atas Juve -- bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk meraih kemenangan 3-2 -- menggunakan lima minit terakhir permainan menjaringkan dua gol untuk meraih kemenangan menerusi jaringan Juan Mata dan gol sendiri Alex Sandro bagi mengekalkan mereka di tangga kedua dengan tujuh mata.
 
Satu keputusan yang tidak dijangka berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pasukan dan ia telah membuktikan apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.
 
Cetusan inspirasi Mourinho
 
Pengurus kelahiran Portugal berusia 55 tahun itu dihormati sebagai salah seorang pengendali terbaik dalam sejarah bola sepak setelah mengukir reputasi kejayaan bersama mana-mana pasukan yang dilatihnya.
 
Pergelutannya bersama United sungguh jelas apabila segala apa yang beliau harapkan di Old Trafford tidak berhasil hingga menimbulkan spekulasi masa depannya bersama The Red Devils sudah tiba di penghujungnya.
 
Beliau bagaimanapun meredakan kemelut itu sejak beberapa minggu lalu dengan membimbing pasukan meraih empat kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan, dengan kemenangan ke atas Juventus merupakan salah satu persembahan terbaik kelab sejak diambil alih oleh Mourinho.
 
Sebahagian besar daripada kemenangan ini seharusnya diberikan kepada Mourinho kerana telah membuktikan taktikalnya masih relevan apabila percaturan menggunakan pemain gantian telah membantu pasukannya meraih kemenangan.
 
Selepas Ronaldo membuka jaringan, Mourinho membawa masuk Mata untuk melonjakkan kreativiti United di bahagian tengah untuk menyalurkan hantaran ke arah kubu pertahanan lawan sebelum mengikat jaringan menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gol, Wojciech Szczęsny.
 
Marouanne Fellaini menghadirkan kelebihan fizikal buat United apabila berjaya menanduk hantaran Ashley Young yang memaksa Sandro menjaringkan gol sendiri.
 
Terdapat pihak yang menyifatkan idea Mourinho sudah lapuk tetapi beliau telah membuktikan sebaliknya dan mampu menjatuhkan pasukan gergasi Eropah.
 
Juventus gagal lunas peluang
 
Bola sepak adalah permainan yang melibatkan bilangan, pasukan manakah yang menyempurnakan lebih banyak peluang akan meraih kemenangan selepas tamat 90 minit.
 
Tidak disangkal, Juventus merupakan pasukan yang lebih cemerlang di Allianz Arena, mendominasi United serta mengawal rentak permainan.
 
Paulo Dybala dan Blaise Matuidi selesa menerajui bahagian tengah dan banyak mencipta peluang, namun gagal melunaskannya.
 
Sami Khedira meraih peluang pertama, namun percubaannya sekadar terkena tiang gol, Dybala juga melakukan perkara yang sama dalam separuh masa kedua dengan David de Gea berada dalam situasi yang tidak mampu menghalang percubaan mereka.
 
Juventus mudah mencari ruang, melakukan larian tetapi gagal bermain dengan berkesan dalam kotak penalti United.
 
Mata menyatakan selepas perlawanan bahawa "Juventus memiliki beberapa peluang terbuka dan mampu meraih kemenangan (selepas jaringan Ronaldo) tetapi gagal melakukannya sebelum United bangkit."
 
Kelalaian Juventus
 
Juve adalah pasukan terkuat di Itali buat masa ini, memenangi tujuh gelaran Scudetto berturut-turut di samping menjulang gelaran domestik berganda sejak tiga musim lalu.
 
Mereka tidak ditewaskan dalam semua kejohanan sebelum berdepan United, memegang kelebihan enam mata ke atas Napoli dalam Serie A sementara mendahului dalam peringkat kumpulan UCL selepas mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut.
 
Ia membuktikan kemampuan yang dimiliki Juventus tetapi terdapat beberapa bukti mereka gagal mengekalkannya hingga tamat perlawanan dalam saingan Serie A. Mereka perlu bangkit untuk mengatasi Empoli hujung minggu lalu.
 
Berdepan United, Juve yang terlalu selesa sementara United tidak menawarkan sebarang ancaman, membenarkan pemain-pemain Juve berfikiran tiga mata sudah diraih sebelum The Red Devils bangkit.
 
Dalam bola sepak, segalanya belum berakhir hingga pengadil meniup wisel penamat dan ini merupakan pengajaran berguna buat mereka.
 
United lebih perlukan kemenangan
 
Kemenangan Valencia ke atas Young Boys meletakkan kelab Sepanyol itu mendaki tangga kedua buat sementara dan mendahului United dengan kelebihan satu mata.
 
Persembahan hambar United dalam saingan liga meletakkan mereka di luar daripada persaingan merebut takhta liga manakala tersingkir daripada saingan Piala EFL oleh Derby County, jadi UCL menawarkan peluang Red Devils untuk menamatkan musim dengan lebih cemerlang.
 
Juventus dengan sembilan mata sudah hampir pasti ke pusingan seterusnya. jadi mereka menghadirkan kurang keinginan untuk menang tetapi bukan untuk United.
 
Hanya dengan kemenangan mengurangkan tekanan pasukan bagi meneruskan cabaran musim ini dan tiga mata yang diraih amat berharga buat mereka.

Advertisement

Must Watch Video