Skip to main content

Rencana

Duit banyak, muka malu

badminton.jpg
Digantung dan menerima malu kerana duit mengatur perlawanan. 

Penggantungan seumur hidup daripada melibatkan diri atau beraksi jika didapati bersalah bukan sahaja meranapkan kerjaya sukan seseorang atlet tetapi terpaksa berdepan dengan cemuhan masyarakat. 

Malaysia terkejut apabila dua pemain badminton profesional negara sedang disiasat oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana dikatakan terlibat dalam skandal mengatur perlawanan. 

Menurut seorang bekas pemain kebangsaan, jika dahulu gejala itu dikaitkan dengan sukan bola sepak, kini ia tersebar kepada kebanyakan sukan termasuk badminton. 

Pemerhati dan pakar psikologi sukan dari Universiti Lemerick, Ireland membuat kajian dan mendapati kebanyakan atlet terlibat dalam perbuatan buruk ini kerana kesempitan wang, tamak dan diberi tekanan. 

Kajian itu juga menunjukkan sikap seseorang manusia yang tidak pernah puas hati dan inginkan kemewahan sehingga mengakibatkan mereka melakukan perkara terkutuk itu walaupun sedar tentang implikasi buruknya. 

Kebanyakan atlet yang didapati bersalah juga memberi kenyataan bahawa mereka kurang pengetahuan dan tiada kesedaran tentang undang-undang dan kesalahan mengatur perlawanan kerana ada laman sesawang yang menyediakan platform untuk mengatur perlawanan secara sah. 

Namun, kesemua yang ditangkap dan didapati bersalah akan mengalami kesan emosi dan psikologi yang cukup mendalam kerana bukan sahaja berasa malu dan disingkirkan oleh masyarakat tetapi ia juga memberi kesan kepada keluarga serta kerjaya semasa dan juga akan datang. 

Ramai juga yang takut untuk melibatkan diri kerana faktor-faktor di atas. 

Dalam membendung gejala mengatur perlawanan, pakar dan komuniti sukan perlu memberi kesedaran dan sokongan tentang undang-undang dan implikasi mengatur perlawanan melalui platform yang sesuai contohnya laman sesawang, media sosial dan seminar. 

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Jangan kerana duit buat malu diri sendiri, keluarga dan Malaysia.
 

Advertisement

Must Watch Video