Skip to main content

Rencana

Dua kem United: Sokong Pogba, lawan Pogba

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mawi-(4).jpg

Bilik persalinan Manchester United akhir-akhir ini terbelah dua – di antara mereka yang memihak Paul Pogba dan mereka yang terang-terang tidak menyokongnya.

Pogba, yang kembali ke United daripada Juventus dengan nilai perpindahan £89 juta (RM428 juta) pada 2016, sedang bertegang leher dengan pengurus, Jose Mourinho, dan sengketa terbuka itu kini mengancam untuk meranapkan musim buat United.

Situasinya bertambah tegang minggu ini apabila Pogba memperlekehkan taktik Mourinho yang membawa kepada pelucutan tugasnya selaku penolong kapten di samping dimarahi pengurusnya itu di hadapan rakan sepasukan dan kamera tv ketika latihan, Rabu lalu.

Menurut akhbar Daily Mail, timbul kebimbangan sengketa Mourinho dan Pogba kini berisiko membuatkan hubungan pengurus kepala angin itu dengan pemain-pemain bintang yang lain turut terjejas.

Anthony Martial secara terbuka memihak Pogba dan dikatakan menjadi sekutu kepada sekumpulan pemain yang bertutur bahasa Perancis.

Eric Bailly, yang kian menurun dalam senarai keutamaan di Old Trafford, turut dikatakan semakin kurang bernafsu di bawah Mourinho.

Pemain tengah Belgium berusia 22 tahun, Andreas Pereira, tampil bersebelahan Pogba dalam satu video Instagram, yang menaikkan kemarahan Mourinho minggu ini.

Kedua-dua pemain itu dirakam sedang bergurau dan ketawa pada waktu rakan sepasukan mereka tersingkir daripada Piala Carabao dengan kekalahan kepada Burnley.

Luke Shaw juga dikatakan rapat dengan kumpulan berkenaan, bersama-sama Marcus Rashford, yang tidak gembira dengan kekurangan waktu bermain.

Tambah memburukkan keadaan, Mourinho dikatakan bengang kerana lagu-lagu dimainkan terlalu kuat di dalam bas pasukan – angkara Pogba di samping Fred turut bersubahat dengannya -- dalam perjalanan untuk seri dengan Wolves, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, tidak semua anggota pasukan pertama yang menyebelahi pemain tengah Perancis itu.

Ashley Young dan Nemanja Matic menjarakkan diri daripadanya di samping Romelu Lukaku yang enggan lagi terlalu rapat dengannya.

Dicadangkan juga Lukaku tidak mahu dilihat sebagai menyokong Pogba melawan Mourinho demi peluangnya untuk terus memburu jaringan buat United.

Pemerhati mengandaikan Pogba berasakan dirinya lebih besar daripada Manchester United pada ketika kelab itu tidak pun berani menyingkirkannya.

Daripada satu sudut, Mourinho turut dirasakan terlalu berlembut dalam menangani keretakan di dalam bilik persalinannya, dengan perbandingan bahawa perkara seumpamanya tidak akan sama-sekali berlaku ketika era Sir Alex Ferguson.

 Namun, ada juga yang beranggapan sambil Pogba semakin besar kepala, Mourinho pula tidak profesional dalam menangani keadaan.

Pogba jelas sekali membiarkan dendam peribadinya terhadap Mourinho menguasai dirinya hingga membawa kepada kemungkinan United sedang merenung semusim lagi tanpa sebarang trofi.

Advertisement

Must Watch Video