Skip to main content

Rencana

Drama penentuan penalti dan untung nasib Kedah

311016rizal.jpg
Penentuan sepakan penalti dalam memutuskan pasukan juara tidak pernah gagal menghadirkan drama di sebalik ia rata-rata dianggap “loteri” tetapi yang terbaru harus dikenang terhadap bagaimana Kedah sudah pun meraikan ‘kemenangan’ sebelum waktunya.

Namun, sudah untung nasib skuad Helang Merah itu, tiada apa yang dapat menghalang mereka daripada ditabalkan juara edisi ke-50 Piala Malaysia – edisi ke-90 jika dikira sejak pengenalan Piala HMS Malaya pada 1921 – kerana Kedah yang ternyata lebih berkesungguhan dan lebih bertuah.

Dalam sejarah Piala Malaysia sejak 1967, sudah tiga kali sebelumnya juara diputuskan menerusi sepakan penalti – pada 1993 ketika Selangor menundukkan Sabah 5-3 selepas kedudukan terikat 0-0, pada 1998 apabila Perak mengalahkan Terengganu 5-3 (1-1) dan yang terakhir, Pahang mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-3 (2-2) pada 2014 yang menyaksikan Hafiz Kamal menyempurnakan sepakan kemenangan.

Penentuan sepakan penalti dalam meleraikan ikatan 1-1 selepas 120 minit saingan final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi, juga tidak kurang dramatiknya.

Ada sepakan penalti ‘panenka’, ada ledakan ala Lionel Messi di Copa America Centenario dan kesudahannya terserah kepada Rizal Ghazali untuk menjadi ‘pemutus’ dalam peraduan yang berlanjutan hingga ke pusingan ketiga ‘sudden death’ -- membabitkan 16 pengambil sepakan penalti kesemuanya.

Terikat 4-4 selepas selesai lima giliran pertama – Selangor menyempurnakannya menerusi Ugo Ukah, Patrick Ronaldinho, Mauro Olivi dan S. Veenod dan hanya Azmi Muslim yang terkandas dalam giliran ketiga, Kedah pula berhasil melalui Bang Seung-hwan, Farhan Roslan, Liridon Krasniqi dan Baddrol Bakhtiar kecuali Shane Smeltz yang gagal menerusi sepakan ‘panenka’ dalam giliran pertama.

(Sepakan ‘panenka’ dengan cara sungkitan lembut ke tengah-tengah pintu gol dengan jangkaan penjaga gol akan merebahkan badan ke kiri atau ke kanan, adalah mengambil sempena nama Antonin Panenka, pemain Czechoslovakia yang menewaskan penjaga gol legenda Jerman, Sepp Maier, dengan sepakan penalti sedemikian dalam final Kejohanan Eropah 1976 untuk pasukan itu muncul juara).

Berlanjutan ke sepakan penalti ‘sudden death’, Hafiz Kamal lebih dahulu menghalakan sepakannya tinggi melangit tapi andai dia tercari-cari penawar, sepakannya itu tidak berbeza dengan ledakan Messi dalam final Copa America Centenario di Amerika Syarikat, Jun lalu, apabila pasukannya kalah 4-2 kepada Chile menerusi penentuan penalti yang mendorong bintang Argentina itu mengumumkan persaraannya dari peringkat antarabangsa.

Pada detik inilah, kamera televisyen tertumpu kepada pemain-pemain Kedah yang sudah pun meraikan ‘kemenangan’ pada ketika mereka masih berbaki satu sepakan lagi pada kedudukan yang masih terikat 4-4.

Perihal mereka merayakannya lebih awal mungkin kerana menyangka sepakan penalti sudah selesai tapi gambaran Liridon menadah tangan sambil kumat-kamit berdoa, harus menyedarkan mereka akan situasi sebenar.

Apa yang ditakuti berlaku jua. Amirul Hisyam Awang Kechik yang tampil mengambil sepakan terakhir untuk Kedah, gagal menewaskan Khairul Azhan Khalid di pintu gol untuk sepakan penalti berlanjutan lagi.

Kapten Selangor, Andik Vermansyah, dan Halim Shaari masing-masing tidak bermasalah menyempurnakan giliran ketujuh masing-masing untuk kedudukan sekali lagi terikat 5-5.

Kesudahannya, ia memerlukan dua “Rizal” untuk memutuskan yang menang dan yang kecundang – sambil pertahanan Selangor, Rizal Fahmi, menyaksikan sepakannya terhalang oleh palang, pertahanan Kedah, Rizal Ghazali, pula menghalakan sepakannya ke sebelah kiri Khairul Azhan yang tersalah arah, untuk Kedah pulang berbekalkan Piala Malaysia.

Dendam final tahun lalu terbalas sudah.

"Penalti kemenangan itu, saya akui berasa gemuruh dan takut kerana saya merupakan penentu,” kata Rizal yang turut diumumkan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir. “Tetapi, Alhamdulillah, rezeki kami untuk menjulang piala."

Syabas Kedah kerana bergelar juara sambil keajaiban dan kemeriahan Piala Malaysia jelas belum pudar.

Advertisement

Must Watch Video