Skip to main content

Rencana

Doakan Jijoe !

azizulhasni_8.jpg
5 April 2018 menyaksikan empat acara berbasikal telah berlangsung iaitu 4KM kejar mengejar berpasukan lelaki, pecut berpasukan lelaki dan wanita serta 1km ujian masa untuk atlit basikal para di pentas Sukan Komanwel Gold Coast 2018. 

Kehangatan di Velodrom Anna Meares sudah pun terasa dengan aksi-aksi daripada skuad negara seperti Fatehah Mustapa bagi acara pecut berpasukan bersama Farina Shawati Mohd Adnan serta atlit para, Muhamad Afiq Afify Rizan yang berjaya perbaharui rekod Asia. 

Namun, saya percaya saat yang paling dinantikan seluruh rakyat Malaysia adalah daripada Azizulhasni Awang atau Jijoe bagi acara keirin yang bermula pada 6 April, jam 7 malam waktu tempatan. (Jam 5 Petang Waktu Malaysia)

Cuma apa yang merisaukan adalah tahap kesihatan Jijoe yang mengalami demam virus sejak Mac lalu. 

Sewaktu saya ke sesi latihannya pada Rabu, dia kelihatan agak lemah, tidak seperti Jijoe yang kita kenal sebelum ini. Tahap pernafasannya juga tidak menentu dan itu yang merisaukan Jijoe sewaktu dia berkongsi keadaan dirinya kepada saya di velodrom. 

Khuatir risiko tinggi yang boleh terjadi, Jijoe disahkan hanya akan beraksi bagi acara keirin sahaja pada Jumaat dan tidak akan menyertai acara pecut keesokan hari demi menjaga tahap kesihatannya.

Apa yang saya lihat, kesihatan Jijoe sahaja yang lemah tetapi tidak semangatnya kerana dia tetap ingin penuhi apa yang diinginkan peminat di tanah air untuk menyaksikan aksinya di Gold Coast edisi ini.

Apa-apa pun, saya percaya rakyat Malaysia  turut ambil berat mengenai diri Jijoe dan ingin dia utamakan kesihatan terlebih dahulu dan lakukan sedaya yang mampu demi negara tercinta. 

Sama sama kita doakan Jijoe ! 
 

Advertisement

Must Watch Video