Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

De Bruyne cemerlang, Mourinho dikecam

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

picsart_10-02-07-59-44.jpg
Judas bukan lagi No. 1.

Putar kembali waktu kepada 13 Mac lalu apabila penyokong Chelsea mengejek pengurus Manchester United, Jose Mourinho, ketika pasukannya ditundukkan 1-0 dalam suku akhir Piala FA di Stamford Bridge.

"F--- off Mourinho", "Ini semua salah kamu" dan "Kamu bukan lagi istimewa" adalah antara nyanyian sebahagian penyokong Chelsea ketika itu apabila dia membantah kepada pembantu pengadil dan bertegang urat dengan Antonio Conte sejurus Ander Herrera diperintahkan keluar padang.

Berang dengan cemuhan berkenaan, Mourinho yang dilabel sebagai “Judas” menunjukkan isyarat tiga jari sebagai mengingatkan mereka terhadap tiga kejuaraan liga yang dimenangi Chelsea ketika dia masih pengurus The Blues.

“Mereka boleh mengejek dengan memanggil saya apa pun. Tapi sehingga mereka (Chelsea) memiliki seorang pengurus yang menang empat kejuaraan, saya masih no. 1.

“Sehingga detik ini, ‘Judas’ masih no. 1,” kata Mourinho, yang dipecat buat kali kedua oleh Chelsea pada Disember 2015, tujuh bulan selepas memenangkan kelab itu kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Dan jika Mourinho berasakan dia masih bertakhta di hati sebahagian lagi penyokong Chelsea, kekalahan terbaru The Blues 1-0 kepada Manchester City dalam saingan liga di Stamford Bridge, awal pagi semalam, turut dipersalahkan kepada ‘The Special One’ itu.

Kevin De Bruyne menjaringkan gol tunggal yang menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan dan penyokong Chelsea segera menyasarkan kemarahan mereka kepada Mourinho sekali lagi.

Ia adalah angkara Mourinho yang menjual pemain antarabangsa Belgium itu pada harga hanya £18 juta (RM101 juta) ketika bersama Chelsea untuk dimiliki Wolfsburg, tiga tahun lalu, tanpa pemain itu diberi banyak peluang – dia hanya tampil dalam tiga perlawanan -- untuk menonjolkan kebolehan bersama Chelsea.

Sebaliknya, De Bruyne benar-benar menyerlah ketika dipinjamkan kepada Werder Bremen sebelum perpindahannya itu dan seterusnya meningkatkan permainannya ke satu tahap lagi sekembalinya dia ke Bundesliga, dengan menarik minat pasukan-pasukan utama Eropah sekali lagi.

Kesudahannya, dia dipancing Manchester City dalam perpindahan bernilai £55 juta (RM310 juta) pada 2015, dan tampil selaku antara pemain terbaik di bawah asuhan dan pengawasan rapi pengurus, Pep Guardiola.

Seakan-akan ‘memulangkan paku buah keras’, pemain berusia 26 tahun itu menghukum kelab lamanya itu dengan menyempurnakan jaringan penting yang harus amat berharga dalam penentuan juara pada akhir musim nanti.

Tidak ketinggalan mempersendakan Mourinho ialah pengurus Chelsea, Conte, yang sekadar dapat menyesali penjualan De Bruyne oleh pengurus sebelumnya.

“Secara jujur, saya tidak tahu apa yang berlaku pada masa lalu,” kata Conte kepada wartawan. “Tetapi apa yang pasti, kita sedang bercakap mengenai seorang pemain utama. Dia benar-benar seorang pemain bagus yang lengkap serba-serbi. Dia bagus dan pantas secara teknikal.”

Malah, De Bruyne turut menjaringkan satu gol cemerlang dalam kemenangan 2-0 City ke atas Shakhtar Donetsk dalam Liga Juara-Juara, minggu lalu.

Sebagai perbandingan, De Bruyne bermain sedikit ke bawah dalam formasi Guardiola berbanding ketika Manuel Pellegrini menjadi pengurus terdahulu.

Di sebalik bukan seorang penjaring prolifik dalam musim pertamanya di Stadium Etihad pada 2015-16, Guardiola hanya dapat menghamburkan pujian.

“Dia boleh melakukan segala-galanya,” kata Guardiola. “Bersama bola, dia seorang yang boleh bermain pelbagai posisi serta membuat umpanan dekat atau jauh.

“Tanpa bola, dia adalah pemain paling pemalu. Dia memberitahu jika dia perlu berlari 100 kilometer untuk pasukan, dia akan melakukannya. Tidak mudah untuk menemui itu pada seorang pemain berbakat besar sepertinya,” kata Guardiola lagi.

Bayangkan Mourinho yang berwajah berang sedang mengetap bibir angkara dipersendakan kerana tidak menghargai seorang pemain sehebat De Bruyne ketika tempohnya di Chelsea.

Maaf, Judas!

Advertisement

Must Watch Video