RENCANA
Dari 3 angka ke 2 angka!
Sedar tak sedar, tinggal beberapa hari sahaja lagi temasya Sukan Sea bakal bermula di Kuala Lumpur.
Rasa baru sahaja kita mengira detik 100 hari menuju ke Sukan Sea dan kini tiga angka itu sudah berkurang ke dua angka di mana hanya 50 hari lagi rakyat Malaysia bakal menyaksikan atlit negara mempertaruhkan aksi mereka selepas sekian lama persiapkan diri.
Tidak sabar rasanya ingin melihat bagaimana agaknya ia bakal berlangsung selepas sekian lama menanti sejak kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah sukan dwitahunan ini pada tahun 2001.
Iklan
Ketika itu, Malaysia berjaya menjadi juara keseluruhan dengan kutipan 111 pingat emas. Sudah pasti tahun 2017 ini kita enggan berputih mata untuk melihat negara ulangi kejayaan 16 tahun yang lalu.
Sengaja penulis ingin berkongsi keterujaan sesama kita yang menanti penuh debar akan temasya ini. Harus diingat, bukan atlit sahaja yang melakukan persiapan penuh, tetapi para media khususnya kami di Astro Arena tidak ketinggalan dalam berusaha sehabis mungkin sajikan berita terbaik kepada rakyat Malaysia
Astro Arena yang menjadi penyiar rasmi Sukan Sea pada edisi ini berharap liputan yang dibuat oleh wartawan-wartawan Nadi Arena mampu memberi impak kepada anda yang cintakan sukan tanah air kita untuk terus beri sokongan kepada Malaysia
Kami tidak hanya goyang kaki menunggu detik temasya itu kerana telah pun membuat liputan yang terperinci terhadap sukan-sukan yang bakal dipertandingkan nanti
Pastinya anda yang sering mengikuti perkembangan di Nadi Arena tidak ketinggalan menonton pakej berita mengenai Kapsul Sukan Sea dan Fokus Sukan Sea yang telah disediakan oleh 9 wartawan Astro Arena untuk anda mengenali lebih mendalam atlit dan sukan kegemaran anda.
Penulis sebagai wartawan juga dalam pada masa yang sama tetap gemuruh apabila kali pertama membuat liputan temasya seperti ini di laman sendiri bersama para media lain nanti.
Teruskan menghitung hari dan jangan lupa untuk setia bersama Astro Arena menjelang Sukan Sea!
Must-Watch Video