Skip to main content

Rencana

CR7-RMCF: Retak menanti belah

mourinho-ronaldo-190617.jpg
“Ia akan berlaku,” teriak tajuk akhbar The Sun, dengan tajuk kecil: “Cristiano Ronaldo menukar gambar profil Intagramnya daripada berjersi Real Madrid kepada jersi Portugal yang (pastinya) akan mengujakan penyokong Manchester United.”

Kelmarin, akhbar sensasi itu mendedahkan bagaimana megastar berusia 32 tahun itu memberitahu Real Madrid Club de Fútbol (RMCF) bahawa dia mahu meninggalkan mereka dan berpindah semula ke Manchester United.

Semalam pula, Ronaldo sudah menukar gambar profil Instagramnya, daripada berjersi Real Madrid kepada berjersi Portugal.

Sudah tentu ia mungkin berkaitan dengan kehadirannya bersama skuad kebangsaan Portugal dalam kempen Piala Konfederasi di Russia tapi menurut seorang pengulas di media sosial, pemain itu tidak pernah melakukan itu sebelum ini.

Langkah terbaru itu mendorong ramai untuk cenderung mempercayai Ronaldo sedang mengikhtiarkan jalan keluar dari Santiago Bernabeu dan saingan LaLiga yang baru dijuarainya.

Pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak empat kali itu menikmati musim yang sensasi bersama Los Blancos tetapi dikatakan kecewa kerana berasakan kelab itu tidak melindungi dirinya sepenuhnya selepas dituduh pihak berkuasa Sepanyol mengelak cukai berjumlah £13 juta (RM71.2 juta).

Khabarnya, Ronaldo telah memutuskan tempoh lapan tahunnya di Sepanyol sudah berakhir – keputusan muktamad yang sudah disampaikannya kepada presiden Real Madrid, Florentino Perez.

Terlerainya ikatan di antara kedua-dua pihak mungkin seperti didedahkan oleh akhbar Sepanyol, El Confidencial, yang mendakwa pada ketika tuduhan terhadap Ronaldo hendak diumumkan, Real menghubungi akhbar-akhbar Sepanyol agar tidak menyiarkan foto pemain itu menyarung jersi Los Blancos dalam laporan mengenai tuduhannya mengelak cukai itu.

Tidak cukup dengan itu, Ronaldo, yang meninggalkan Manchester United pada 2009 dan memenangi segala-galanya bersama Real Madrid, turut tersisih daripada promosi video memperkenalkan jersi baru kelab itu bagi musim 2017-2018.

Perez, sementara itu, dikhabarkan sudah mengatur satu pertemuan dengan ejen Ronaldo, Jorge Mendes, untuk satu perbincangan krisis.

Akhbar sukan, Marca, mendakwa presiden Madrid itu kekal keberatan untuk menjual Ronaldo tapi sedia merundingkan tawaran sekitar £175 juta (RM959 juta) di sebalik penyerang Portugis itu mempunyai klausa pelepasan bernilai £870 juta (RM4,767 juta).

Begitupun, penasihat-penasihat Ronaldo dilaporkan berkata mereka percaya yuran perpindahan sekitar £131 juta (RM718 juta) masih boleh dirundingkan.

United dilaporkan tampil sebagai pendahulu untuk mendapatkan tandatangan penyerang yang bergaji EUR32 juta (RM153 juta) setahun itu – bakal menyatukan kembali Mourinho-Ronaldo selepas 2010-13 --selain gergasi Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG). Dalam pada itu, Manchester City dan Chelsea dikatakan turut berminat.

Semua itu cukup untuk menimbulkan rasa cemas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, yang merayu kepada penyerang itu ketika dia sedang bercuti bersama keluarga di Itali sebelum menyertai Portugal ke Piala Konfederasi: “Cris, kami perlukan anda."

Zidane melihat Ronaldo sebagai kritikal buat harapan masa depan pasukan dan dikhabarkan sedia melakukan apa saja untuk mengekalkannya – termasuk membayarkan cukai £13 juta (RM71.2 juta) yang menjerut lehernya.

Tungguuuuu!

 

Advertisement

Must Watch Video