Skip to main content

Rencana

Cheng Hoe dihambat memori lunaskan hutang lama

kedah-berkeyakinan-tinggi-cheng-hoe.jpg
Hampir setahun berselang dan peluang kedua kini tampil untuk jurulatih budiman Kedah, Tan Cheng Hoe, melunaskan apa yang dia terhutang musim lalu.

Andai diputar waktu ke belakang, harus ramai yang tidak mengingati bibit-bibit menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia pada 12 Disember 2015.

Sebelum berlangsungnya peringkat suku akhir lagi, Cheng Hoe – antara jurulatih yang dikenali sangat ‘cool’ dan jarang sekali dilihat gagal mengawal emosi – terpaksa meninggalkan sementara pasukan Kedah selama 20 hari untuk berguru dalam kursus kejurulatihan pro di China.

Mengisi tempatnya ialah jurulatih kecergasan kelahiran Sepanyol, Ramon Marcote, yang juga bertindak selaku penolong jurulatih.

Berbekalkan lesen ‘A’ kejurulatihan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Marco, seperti yang dikenali oleh pemain-pemain, selain pernah memikul tugas penolong jurulatih di kelab La Liga, Atletico Madrid, mengemudi skuad Lang Merah untuk mengharungi kedua-dua peringkat suku akhir dan separuh akhir dengan jaya.

Dalam suku akhir pada 24 dan 28 November, Marco yang merencanakan percaturan taktikal Kedah – yang dimasyhurkan selaku juara Liga Perdana pada tahun itu – untuk menyingkirkan PKNS dengan agregat 4-2.

Sekali lagi, ketika ketiadaan Cheng Hoe, Marco yang merumuskan formula terbaik untuk skuad Hijau Kuning mengetepikan Felda United bimbingan Irfan Bakti Abu Salim dengan agregat 4-3 dalam separuh akhir pada 2 dan 6 Disember untuk melakukan perhitungan dengan Selangor dalam final.

Cuma sehari sebelum final, Cheng Hoe kembali ke tanah air untuk mengambil alih pasukan semula bagi detik kemuncak itu yang menyaksikan Kedah kecundang 0-2 di Stadium Shah Alam untuk Selangor melengkapkan Misi 33.

Cheng Hoe sendiri harus tahu betapa wujud cakap-cakap ketika itu yang nasib Kedah mungkin berbeza jika Marco dibenarkan untuk terus mencongak percaturan taktikal pasukan hingga ke penghujung, dengan dia sendiri sekadar berperanan penasihat.

Tapi, semua itu sudah berlalu dan sejarah musim lalu tidak mungkin dapat diubah lagi. 

Namun, harus tidak adil untuk menyalahkan Cheng Hoe semata-mata di atas kekalahan itu kerana kebangkitan Kedah dari awal musim untuk menjuarai Liga Perdana adalah hasil perancangan dan sentuhan kejurulatihannya.

Marco sendiri turut mengakui kemaraan Kedah hingga ke final adalah hasil tunjuk-ajar Cheng Hoe juga, dengan berkata: “Tiada isu dalam soal ini kerana saya sentiasa berhubung dengan Cheng Hoe sepanjang dia berada di China untuk berbincang apakah yang terbaik untuk pasukan. Kami adalah rakan karib yang berkongsi cita-cita yang sama.” 

Kini, peluang kedua datang lagi.

Kedah, yang memenangi peringkat pertama separuh akhir 2-1 ke atas PDRM, mungkin sudah sebelah kaki berada dalam final Piala Malaysia, dengan perlawanan timbal balik di Stadium Hang Jebat, Melaka akan berlangsung Sabtu ini.

Marco, seperti diketahui, sudah lama angkat kaki dan tinggallah Cheng Hoe untuk menebus apa yang gagal dilunaskannya musim lalu.

Dengan Selangor – berkelebihan 2-1 ke atas T-Team dalam satu lagi separuh akhir – barangkali sekali lagi menjadi lawan dalam perlawanan akhir nanti, Cheng Hoe tidak akan kekurangan motivasi untuk memastikan skuad Lang Merah yang akan unggul kali ini.

Jaya atau gagal, ia harus dipikul oleh ‘Mr Nice Guy’ bola sepak Malaysia ini tanpa ia boleh dikaitkan dengan sesiapa yang lain.

Advertisement

Must Watch Video