Skip to main content

Rencana

Cabaran sebenar baru bermula... Tapi encang saja!

sarawak72bdca0a3d81604aa734ff0000212b38.jpg
Yang mana satu lebih susah diharungi? Merangkak naik ke atas, atau bertahan mengelak kejatuhan?

Memulakan liga dengan perlahan, atau jatuh selepas memulakan liga dengan cemerlang? Orang-orang lama kata, bola itu bulat. Apa-apa pun boleh terjadi. Tak semestinya pasukan di tangga teratas liga pada hari ini akan menjadi juara pada esok hari. 

Begitu juga dengan pasukan di tangga tercorot. Tak semestinya pasukan yang berada di tangga terakhir terpaksa menempuh realiti Liga Perdana musim hadapan. Baru enam perlawanan, adakah terlalu awal untuk yakin? Adakah terlalu awal untuk mengeluh?

Pernah orang bertanya, “Dayang… Agak-agaknya Sarawak nanti habiskan liga di tangga keberapa?”

Orang lain mungkin boleh menjawab dengan tenang, dengan pantas, dengan yakin, “jadi juara lah bro”.

Tapi sedikit berbeza bagi sesiapa yang mengibarkan bendera Sarawak dalam saingan Liga Super. 

Jawapan yang paling kerap saya berikan adalah “kalau enam teratas pun saya dah puas hati sebenarnya.”

Bukan kerana hendak menidakkan kemampuan pasukan Sarawak, bukan juga untuk memandang rendah ke atas kemampuan ketua jurulatih dan pemain. 

Selepas enam perlawanan, Sarawak sekadar menang dua kali di tempat lawan. Pertama kalinya ketika berdepan Pulau Pinang dan kali keduanya ketika membuat perhitungan bersama PKNS di Stadium Shah Alam.

Adakah peminat berpuas hati dengan rentak sebegini?

Secara jujurnya, saya rasa… Ya. Sebab Sarawak kini dalam proses “membina semula” pasukan. Dibarisi pemain muda yang masih dahagakan pengalaman berentap di liga dan juga pemain yang mejoritinya memang berasal dari Sarawak (dari pasukan Piala Presiden dan sebagainya)…bukan tugas mudah untuk jurulatih David Usop mencari keserasian dan kematangan dalam pasukan musim ini.

Berbalik kepada soalan awal tadi -- yang mana satu lebih susah? Merangkak naik ke atas atau sebaliknya? Sebab dari pengamatan saya, itulah yang dilakukan oleh Sarawak kini. Merangkak. Hendak belajar berjalan. Mudah-mudahan tidak lama lagi mampu berlari. 

Jadi adakah masih punya harapan pasukan yang mahu kembalikan era Ngap Sayot? Peluangnya ada - cuma masa yang bakal menentukan penghujung jalan cerita.

Adakah Sarawak mampu menjadi pencabar liga musim 2017? Secara realistik nya, tidak. Masih terlalu awal.

Tapi adakah mereka akan menjadi pasukan belasahan? Tidak juga, sebab selalunya pasukan “baru” ini lah yang hendak membuktikan diri. Buat penyokong Sang Buaya, jangan patah hati. Pasukan kesayangan anda masih punya masa untuk mencari rentak dan menunjukkan aksi sebenar.

Ambillah sebanyak mana iktibar dan pengajaran dari perlawanan yang lepas. Sebab cabaran sebenar baru bermula. Adakah Sarawak akan terus merangkak? Atau akhirnya bakal berlari?

Advertisement

Must Watch Video