Skip to main content

Rencana

Bukan misi mustahil!

malaysia-b-23.jpg
Hampir lapan bulan berlalu, kenangan di bumi China masih segar dalam ingatan saya apabila skuad B-23 negara berjaya meraih pencapaian membanggakan dalam Kejohanan AFC B-23.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee pada awalnya tidak diletakkan harapan tinggi untuk melepasi saingan peringkat kumpulan, apatah lagi berdepan pasukan handalan seperti Arab Saudi, Iraq dan Jordan.

Namun, anak buah Kim Swee melakukan kejutan apabila menewaskan Arab Saudi 1-0 dalam aksi peringkat kumpulan sebelum hampir mengejutkan Korea Selatan dalam suku akhir namun terpaksa akur kecundang 1-2.

Skuad muda negara pulang ke tanah air dengan penuh bermaruah dan buat saya, tugasan di dua wilayah berbeza iaitu di Changshu dan Kunshan itu tetap bermakna selepas 16 hari berada di sana.

Skrip sama tampak berulang untuk tugasan di Sukan Asia Indonesia bulan depan apabila skuad B-23 negara terpaksa berdepan pasukan-pasukan handalan dalam aksi peringkat kumpulan.

Tatkala Korea Selatan tampil dengan status juara bertahan, kekuatan Kyrgyzstan dan Bahrain tidak boleh diperkecilkan dan menjadikan laluan Malaysia lebih berliku apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut diundi dalam Kumpulan E.

Keputusan itu diperoleh hasil undian tambahan yang hanya membabitkan dua pasukan, Palestin dan UAE di Bukit Jalil, baru-baru ini.

Realistiknya, skuad muda negara sukar untuk melepasi halangan peringkat kumpulan, namun berdasarkan kejayaan bersejarah di bumi China, tiada perkara yang mustahil untuk menafikan kehebatan pasukan lawan.

Malah, ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, yakin skuad muda negara mampu ke suku akhir sekiranya semua pemain yang dipanggil ketua jurulatih diberi pelepasan oleh pasukan negeri dan kelab untuk menyertai skuad kebangsaan.

Jadi, saya juga mengharapkan barisan pemain yang akan dipilih mampu memastikan kemaraan Malaysia ke peringkat tertinggi dengan menjadikan kejayaan di China sebagai motivasi untuk berjaya di Indonesia nanti. 
 

Advertisement

Must Watch Video