RENCANA
Buat Liverpool, kelantangan Mourinho tidak mencukupi
“Pasukan yang lebih kuat telah kalah hari ini!” Begitulah ungkapan Jose Mourinho kepada Jurgen Klopp sebaik sahaja tamat perlawanan di antara dua pasukan di puncak Liga Perdana Inggeris, yang berkesudahan dengan kemenangan 2-1 untuk Liverpool, awal pagi tadi.
Tidak cukup dengan itu, Mourinho terus menyambung lagi rintihannya sewaktu temu bual selepas perlawanan.
“Saya cukup tak puas hati dengan tingkah-laku Klopp sepanjang perlawanan.
Iklan
“Kalau saya menunjukkan sikap sepertinya, saya jamin saya akan dihalau keluar dari padang!
“Saya lihat Klopp macam nak rampas papan penunjuk masa tambahan daripada pembantu pengadil tadi, sungguh keterlaluan!”
Sewaktu ditanyakan tentang komen Mourinho tersebut, Klopp ternyata hairan.
“Mungkin Bahasa Inggeris saya lebih teruk daripada yang saya sangkakan.
“Setahu saya, Mourinho cuma tidak gembira kerana pasukan dia kalah.
“Tak sangka pula dia tidak berpuas hati dengan kelakuan saya, entahlah!”
Dalam perlawanan itu, buat julung-julung kalinya penonton dibenarkan untuk hadir semula ke stadium, meskipun jumlahnya dihadkan kepada sekitar 2,000 orang sahaja.
Kehadiran 2,000 penonton ini juga membolehkan Liverpool untuk memberikan penghormatan terakhir kepada bekas pengendali mereka, Gerard Houllier, yang meninggal dunia Isnin lalu pada usia 73 tahun.
Menariknya, bekas pengurus Tottenham, Tim Sherwood, yang bertugas sebagai pengulas untuk saluran langganan Amazon Prime Video, seolah-olah telah ‘menyumpah’ bekas kelabnya itu.
Pada minit-minit terakhir perlawanan, Liverpool berjaya memperoleh sepakan sudut dan Sherwood berkata, “Sepakan sudut lagi, tapi tak apa, saya tak risau, Tottenham sangat dominan di udara, tak ada masalah.”
Ternyata beberapa detik kemudian, tandukan terbang Roberto Firmino menghadiahkan gol kemenangan buat Liverpool dan pengulas yang lain serta-merta menjerit, “Tim, apa yang kamu dah buat!”
Paling melucukan, komen-komen daripada peminat di media sosial, “Kalau ada yang tertanya-tanya kenapa Tim Sherwood tidak lagi menjadi pengurus kelab, inilah sebabnya!”

Pertemuan Liverpool-Tottenham ini sememangnya menjadi perlawanan tumpuan berdasarkan kedudukan terkini masing-masing, tambahan pula ia menjadi ujian terbesar buat Spurs setakat ini.
Apa yang menjadi tontonan ialah stail berlawanan, dengan Liverpool menyerlahkan penguasaan sambil Tottenham mengukir cukup peluang untuk meleburkan rekod kebal Anfield yang kini berlanjutan kepada 66 perlawanan.
Liverpool mendahului menerusi percubaan Mohamed Salah yang terbias selepas 26 minit tapi hanya tujuh minit diperlukan Son Heung-min untuk mengimbangi kedudukan.

Kebuntuan kelihatan akan berpanjangan hingga ke wisel penamat sehinggalah Firmino memberikan perbezaan dengan tandukan terbangnya pada minit terakhir masa permainan sebenar.
Pada penghujungnya, katakanlah apa saja terhadap Klopp atau Liverpool tapi tiada apa-apa dapat mengubah hakikat bahawa mereka kini bermegah di tangga teratas, berjarak tiga mata dengan lawan mereka itu.
Must-Watch Video