Skip to main content

Rencana

Bolt, inspirasi Sang Pengejar Impian (bhg 2)

usain-bolt-football.jpg
Bahagian 2: Lightning Bolt mengejar sukan bola sepak.

Kejohanan Dunia 2017 merupakan penamat kepada keagungan karier Bolt dalam sukan olahraga.


Petanda awal dapat dikesan sewaktu peringkat saringan acara 100 meter di mana pemulaan perlahan yang dipamernya menyaksikan dia hanya mencatat masa 10.07 saat walaupun memenangi saringan tersebut.

Catatan tersebut diperbaiki dalam peringkat separuh akhir dengan harga yang cukup tinggi.

Dengan catatan 9.98s, Bolt, bagaimanapun, tewas kepada pelari Amerika Syarikat (AS), Christian Coleman, dengan perbezaan 0.01s.

Kekalahan itu menamatkan penguasaan empat tahun Bolt dalam acara itu.

Dalam aksi final pula, dia sekadar meraih pingat gangsa yang menyaksikan kebangkitan Justin Gatlin mengungguli acara itu di samping rakan sepasukan, Coleman di tempat kedua.

Bolt menamatkan karier olahraganya menerusi satu lagi kekalahan dalam acara 4x100m selepas dia yang bertindak sebagai pelari terakhir terjatuh pada baki 50m perlumbaan.

Selesai cerita Bolt dalam arena olahraga, namun dia mengejutkan dunia kerana mahu menjadi seorang pemain bola sepak.

Ya.. Bola sepak..

Satu keputusan yang mengundang kritikan ramai pihak yang menganggap ia sesuatu yang mengarut untuk direalisasikan.

Lebih memeranjatkan, Bolt tanpa berselindung meluahkan hasratnya untuk bermain bersama pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.

Sekali lagi, Bolt dikecam hebat kerana ia turut dilihat sesuatu yang mengarut.

"Kalau boleh, saya mahu bermain untuk Manchester United.

"Ia ibarat mimpi yang menjadi kenyataan dan itu akan menjadi sesuatu yang epik," kata Bolt kepada The Guardian.

Apa yang membezakan Bolt dengan individu lain adalah dia sentiasa memiliki keyakinan diri yang tinggi dan sentiasa berusaha untuk mengejar impiannya.

"Mereka boleh memperkatakan apa yang mereka mahukan.

"Saya bermula dengan acara olahraga dan ramai mengkritik sewaktu awal karier saya dahulu.

"Saya membuktikan kepada mereka melalui kejayaan dari tahun ke tahun," kata Bolt kepada Sky Sports.

Nyata ia bukan sekadar gurauan. Bolt benar-benar ingin mengejar cita-citanya selaku pemain bola sepak.

Pada 21 Ogos lalu (ulang tahun kelahiran ke-32nya), Bolt memulakan latihan bersama kelab Australia, Central Coast Mariners.

Dua bulan selepas itu, dia menjaringkan dua gol buat Mariners ketika menewaskan McArthur South West United dalam aksi pra-musim pasukan itu.

Malangnya, Bolt gagal memeterai sebarang kontrak bersama pasukan tersebut ekoran beberapa isu yang tidak dapat diselesaikan termasuk penajaan dan pihak ketiga.

"Bola sepak merupakan impian saya sejak kecil. Saya pasti dia (Andy Keogh, pemain Perth Glory, yang menyatakan sentuhan pertama Bolt seperti trampolin) juga tidak memiliki kemahiran yang hebat sewaktu mula menceburi bidang itu.

"Saya bercakap dengan Paul Pogba dan Raheem Sterling sebelum ini.

"Mereka memberikan sokongan kepada saya dan saya tidak perlu gusar kerana terdapat pemain biasa yang memperkecilkan saya.

"Ramai pemain di tahap tertinggi yang tahu ini adalah impian yang saya perlu kejar," kata Bolt.

Persoalannya di sini, mengapa Bolt harus menerima kritikan yang sebegitu rupa.

Dia merupakan Lightning Bolt di pentas olahraga.

Dia tidak perlu menerima kritikan demi kritikan hanya kerana mahu menjadi seorang pemain bola sepak.

Namun, itulah Usain Bolt, The Lightning Bolt.

Seorang yang sentiasa yakin untuk mengejar cita-cita.

Seorang yang menjadi inspirasi dalam mengejar impian.

Jika Bolt yang pernah mengecap gemilang dan segala kemewahan itu masih mahu mengejar impian yang belum terlaksana, mengapa tidak kita.

Advertisement

Must Watch Video