Skip to main content

Rencana

Boleh ke menang ni?

malaysia-aff-suzuki-cup.jpg
Boleh ke menang  lawan dengan Myanmar ni? Itulah persoalan yang sering berlegar-legar dalam fikiran penulis menjelang pertemuan penting pada Sabtu membabitkan skuad Harimau Malaya.

Pertemuan ini bukan sekadar menentukan nasib pasukan kebangsaan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018, tetapi penulis juga percaya pertemuan ini turut menjadi penentu kedudukan pengendali negara, Tan Cheng Hoe.

Di atas kertas, penulis merasakan peluang seimbang buat kedua-dua pasukan setelah menimbang tara kelebihan dan kekurangan Malaysia dan juga Myanmar.

Dari segi ranking, umum pasti sudah maklum bahawa sejak kebelakangan ini, kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA tidak begitu memberangsangkan dan skuad kebangsaan antara pasukan Asia Tenggara yang ketinggalan kepada pasukan seperti Thailand, Vietnam dan juga Myanmar. Myanmar kini berada pada kedudukan 141,  manakala kita pula 169. 

Di saat kita hilang punca dan tewas kepada skuad Vietnam, Myanmar sememangnya membuktikan mereka layak berada pada kedudukan lebih baik dari Malaysia pada ranking FIFA apabila berjaya mengikat Vietnam seri tanpa jaringan 0-0. Keputusan tersebut menyaksikan Vietnam dan Myanmar berkongsi tujuh mata, manakala Malaysia dengan enam mata di tempat ketiga.

Hanya kemenangan dapat menjamin kedudukan Malaysia untuk mara ke peringkat seterusnya dan Stadium Bukit Jalil bakal menjadi saksi kebangkitan skuad Harimau Malaya yang dahagakan kemenangan. Penulis percaya tempat perlawanan yang berlangsung di tanah air banyak memberikan kelebihan kepada skuad Malaysia. Selain dari pemain dapat melalui rutin harian yang sama dari segi masa, pemakanan, cuaca dan suasana, kehadiran penonton yang akan mencecah puluhan ribu juga memainkan faktor utama kebangkitan skuad Malaysia nanti.

Masa rehat yang panjang berbanding pasukan lawan juga membolehkan barisan pemain kembali berada pada prestasi sebenar dan juga segera pulih dari kecederaan-kecederaan kecil. Manakala bagi Myanmar, mereka hanya ada kurang dari empat hari waktu rehat selepas perlawanan berdepan Vietnam pada Selasa.

Mungkin faktor senarai pemain dalam kesebelasan utama dan percaturan tatikal kedua-dua jurulatih yang akan menentukan pasukan mana berhak meraih kemenangan. Jadi adakah Tan Cheng Hoe mampu memerangkap taktikal yang diterapkan pengendali  Myanmar dari Jerman, Antoine Hey. Atau mungkin Tan Cheng Hoe pula yang tersadung dan rebah di bumi sendiri?

Advertisement

Must Watch Video