Krisis dalaman Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bukan perkara baharu.
Selangor jauh lebih hebat, lebih mewah dan lebih kaya tradisi untuk membina empayar berbanding Johor atau Kelantan tetapi dari era amatur, semi-pro hinggalah ke zaman hashtag, bola sepak negeri bergelar Gergasi Merah Kuning itu dicabul individu-individu berkepentingan peribadi.
Pejabat FAS di Jalan Maharajalela dahulu menjana pendapatan menerusi sewaan pejabat dan restoran. Satu ketika dahulu, FAS memiliki stesen minyak yang boleh menyumbang kepada kantung persatuan dan diuruskan oleh seorang individu yang kini berjawatan dalam FAS sebagai proses pembelajaran.
Gandingan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang waktu itu Raja Muda Selangor dengan Presiden FAS yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, melaksanakan inisiatif menubuhkan Yayasan FAS pada 1990, bermula dengan projek 13 ekar di Kelana Jaya yang menempatkan akademi dan pejabat FAS, disusuli dengan pembinaan mercu tanda Stadium Shah Alam yang siap pada 1994.
Sewajarnya penyokong Selangor sudah boleh mendabik dada merintis pelbagai langkah beberapa dekad ke depan.
Di sebalik visi dan misi pemerintah negeri, persatuan itu tidak dapat lari daripada kontroversi. FAS diheret ke mahkamah oleh Tengku Ahmad Shah yang tewas kerusi timbalan presiden kepada Dr Nordin Selat pada mesyuarat agung dwitahunan FAS pada 17 November 1991.
Tengku Ahmad Shah memfailkan saman dengan mendakwa wujudnya pengundi “hantu” daripada 222 anggota perwakilan. Tindakan diambil walaupun hakikatnya Tengku Ahmad Shah adalah adinda Raja Muda waktu itu dan presiden FAS pula Menteri Besar Selangor.
Lebih 30 perwakilan memutuskan untuk memulau mesyuarat itu. Namun, kes itu diselesaikan di luar mahkamah.
Selepas 20 tahun tidak meminda perlembagaannya, FAS berbuat demikian dengan memberi hak kepada presiden untuk melantik setiausaha dan bendahari pada 1992, berbeza dengan amalan terdahulu yang mempertandingkan semua jawatan berkenaan.
Selepas kejayaan merangkul Piala Malaysia tiga musim berturut-turut pada 1995, 1996 dan 1997, Presiden FAS, Datuk Mohd Aini Taib, memberi laluan kepada pengurusan baharu untuk mengendalikan pasukan.
Pada 4 Januari 1998, Hamidin Mohd Amin (kini Datuk) menggantikan Kudus Karim yang digugurkan manakala tokoh korporat, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, dilantik selaku pengurus pasukan. Namun, pada Jun 1998, ada cubaan mengusulkan undi tidak percaya kepada kepemimpinan Mohd Aini.
Di atas padang pula, Gergasi Merah Kuning tersungkur di medan pertarungan, sebelum bangkit semula pada awal 2000-an.
Jika kisah bilik persalinan berkisar kepada siapa ketua dan pemain ikut kem siapa, cerita bilik lembaga pengurusan lebih kurang serupa.
Bagi mengurangkan kuasa presiden, hak melantik setiausaha dan bendahari – dua jawatan penting dalam mengurus tadbir pejabat secara harian – hanya boleh dibuat dengan persetujuan majoriti exco.
Ternyata dari zaman S. Anthonysamy dibantu empat penolong setiausaha dengan elaun RM400 sebulan, FAS diwarnai pergolakan dan konflik dalaman.
Malang buat penyokong Selangor yang tentunya mengharapkan kemenangan Piala Malaysia yang ke-33 lewat tahun lalu menjadi kesan picu yang dinanti-nantikan bagi melebarkan sayap ke Asia.
Keputusan majoriti exco FAS memulau mesyuarat yang dipengerusikan oleh presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini memberi isyarat jelas bahawa demokrasi boleh membawa kepada kehancuran jika tidak bersandarkan keikhlasan.
Exco FAS sedar presiden tidak ada taring untuk memecat sesiapa tanpa persetujuan exco. Ini termaktub dalam statut FAS yang kali terakhir dipinda pada 2010.
Bayangkan pula dalam kalangan mereka yang memulau mesyuarat itu, ada antaranya yang tidak pernah menghadiri stadium untuk beberapa tahun dan ada yang dibayar gaji sebagai jurulatih tetapi menggigit tangan presiden yang memberinya makan.
Kempen hashtag menyingkir individu-individu tertentu juga belum tentu dapat mengubah keadaan kerana dunia realiti berbeza dengan dunia maya.
Bukan wakil media, bukan wakil penyokong yang membuang undi, sebaliknya perwakilan dari kelab memilih komposisi jawatankuasa eksekutif FAS terdiri daripada seorang presiden, seorang timbalan presiden, empat naib presiden dan 13 anggota exco.
Dalam mendepani exco yang ada kaitan politik persekutuan, Mohamed Azmin jelas kena bijak mencatur gerak. Apatah lagi, usaha menyingkir tokoh-tokoh tertentu bagi mempercepatkan proses penswastaan pasukan dan liga ditentang keras. Senarionya kini lima lawan 14!
Namun, beliau ada pilihan untuk memotong terus bajet Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Inc atau memilih jalan pintas dengan menyalurkan dana dan sumber modal insan kepada PKNS, sebagaimana Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menjenamakan JCorp dan Johor FC sebagai JDT.
Sekalipun belum masak dengan sepak terajang bola sepak Selangor, Mohamed Azmin melawan arus dengan memayung terjunkan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, selaku pengurus pasukan.
Ini satu tindakan yang tidak disenangi kalangan FAS, memandangkan adalah menjadi tradisi jawatan itu dipikul oleh pemegang jawatan persatuan. Berlatarbelakangkan senario terkini, Mohamed Azmin kena tegas mengambil langkah berani melawan arus lagi jika tidak mahu FAS tersungkur ke lembah hina.
Sementara menunggu FAS mengorak langkah menswastakan pasukan dan liga mereka, bola sepak Selangor, sebagaimana bola sepak Malaysia, akan terus dicabul dan dinodai. Terutama oleh mereka di tampuk kuasa yang mutlak serta mereka yang ada pengaruh dan kepentingan politik.