Malam tadi, skuad England menampilkan aksi memberangsangkan dalam perlawanan antarabangsa ketika berdepan Jerman dengan menerapkan formasi 3-4-3.
Biarpun rembatan kaki kidal Lukas Podolski menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan dalam aksi di Signal Iduna Park itu, rata-rata peminat England dapat menerima hakikat transisi yang cuba diketengahkan pengurus, Gareth Southgate, yang dilihat berani melaksanakan falsafah baru dalam permainan England.
Kali ini, tiada lagi pemain bintang yang cuba ditonjolkan, sebaliknya corak permainan lebih menjadi fokus utama.
Aksi yang diperagakan barisan Three Lions itu ibarat acuan daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sendiri -- formasi 3-4-3 acap kali digunakan oleh Chelsea dan Manchester City pada musim ini.
Ditanya mengenai sistem permainan itu, Southgate berkata: "Saya yakin kami akan menggunakannya lagi, ia adalah satu pilihan yang hebat untuk kami, saya fikir kebanyakan pemain sudah terbiasa dengannya di kelab mereka. Ia membantu."
Juga minggu ini, pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menjelaskan sistem permainan penguasaan bola yang dipamerkan mereka adalah berdasarkan pemain yang ada dalam skuadnya.
Untuk itu, pengurus berusia 54 tahun itu menjelaskan mana mungkin dia dapat mengulangi pencapaiannya di Real Madrid pada 2012 dan diterjemahkan di Old Trafford pula.
Ketika itu, Madrid yang memiliki bintang seperti Cristiano Ronaldo, Mesut Ozil, Gonzalo Higuian dan Angel Di Maria secocok dengan corak permainan serangan balas sehingga berjaya menghasilkan sebanyak 121 gol dalam kempen liga musim itu.
Malah, dominasi Sepanyol ketika bergelar juara dunia dan Eropah sebelum ini juga hasil daripada gaya tiki-taka atau setidak-tidaknya hantaran pendek -- yang kebanyakannya diamalkan kelab-kelab LaLiga.
Belum lagi menyentuh soal keampuhan saingan Serie A sehingga gaya pertahanan mereka dijenamakan.
Dalam masa yang sama, pasukan Harimau Malaysia pula sekadar seri 0-0 dengan Filipina dalam aksi persahabatan di Manila, malam tadi.
Dengan corak bertahan yang diperagakan oleh anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee, adakah aksi malam tadi mencerminkan situasi sebenar Liga Malaysia (Liga M)?
Pemain-pemain, yang melontarkan pendapat sebelum ini, menyatakan mereka mendambakan keputusan positif dalam aksi sulung antarabangsa 2017 ini, iaitu kemenangan sedangkan dalam permainan sebenar, mereka beraksi dengan corak bertahan.
"Pemain negara begitu teratur sekalipun Filipina memberi banyak tekanan. Tetapi kami begitu tenang dan benteng juga bagus.
"Malah, pemain tengah negara juga membantu untuk mengekang asakan Filipina," kata Kim Swee, sejurus tamat perlawanan.
Saya bermonolog, mungkin disebabkan pasukan-pasukan dalam Liga M banyak menggunakan tenaga import di bahagian hadapan sehingga aksi bola lambung nampak sempurna?
Atau, adakah kerana kem kebangsaan sendiri yang terlalu memikirkan kelebihan fizikal yang dimiliki Filipina sehingga mengetepikan kebolehan pemain sendiri?
Berdasarkan situasi semasa, kancah bola sepak tempatan hanya hangat dengan isu di luar padang tapi untuk kualiti di dalam padang, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.
Ini rumah kita, ini liga kita...
Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)