Tiada angin, tiada ribut... tiba-tiba kem badminton negara bergegar yang menggoncang bangunan baharu Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara yang dibuka tidak sampai seminggu.
Sebalik meraikan satu mercu tanda badminton negara dengan tertubuhnya ABM, kem badminton kini terpalit dalam isu pergeseran antara ikon badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost.
Semuanya bermula selepas Chong Wei mengalami kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament) ketika berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Sabtu lalu gara-gara permukaan gelanggang yang licin.
Chong Wei sebelum ini sudah mengemukakan permintaan agar getah permukaan gelanggang ditukar. Permintaan itu diajukan kepada Frost tetapi tiada tindak balas sehinggalah Chong Wei mengalami kecederaan barulah BAM bertindak.
Perkara itu menimbulkan rasa kecewa dan memburukkan lagi keadaan apabila Chong Wei mendakwa Frost mengeluarkan kata-kata yang memperlekehkan dirinya iaitu ''this is end of his career" (ini penamat kepada kariernya). Bukan kepalang lagi marahnya Chong Wei hingga membuatkan BAM tidak senang duduk hingga terpaksa mengeluarkan kenyataan dan memerlukan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria mengadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk menjelaskan situasi dan cuba meleraikan keadaan.
Jika Frost ada mengeluarkan kenyataan sedemikian sudah tentu Chong Wei akan terasa seolah-olah Frost memberi bayangan supaya pemain itu untuk meninggalkan kem badminton kebangsaan. Mungkin juga Chong Wei berpendapat Frost tidak lagi memerlukan khidmat Chong Wei.
Saya mengandaikan mungkin itu ada benarnya. Mungkin Chong Wei tidak lagi berada dalam perancangan Frost untuk pasukan kebangsaan. Mungkin Frost berasakan terlalu banyak khidmat serta tumpuan harus diberikan kepada Chong Wei dalam usaha mencapai cita-citanya sedangkan dia sudah di penghujung karier. Lebih baik tenaga kerja dan tenaga sokongan BAM itu dialihkan sepenuh kepada pemain muda yang bakal menjadi tunjang skuad kebangsaan pada masa akan datang.
Mungkin sudah tiba masanya Chong Wei meninggalkan BAM dan bergerak sebagi pemain profesional dengan tenaga kerja dan sokongan sendiri kerana dia mampu membiayainya dan membantu dirinya mengejar impian bergelar juara dunia Ogos ini.
Namun, ini semua satu andaian dan hanya Chong Wei dan Frost yang tahu isu sebenar.
Masa akan menentukan sama ada perbalahan antara dua 'orang penting' dalam BAM ini akan berakhir dengan pendamaian. Cuma saya melihat isu ini menjadi besar kerana ia membabitkan Chong Wei. Apakah jika kecederaan ini menimpa pemain selain daripada Chong Wei, katakan kepada Iskandar Zulkarnain atau pemain barisan kedua skuad kebangsaan, pemain pelapis. Apakah akan mendapat reaksinya sama seperti ketika ini?
Mungkin tidak tetapi bila Chong Wei yang bersuara... semua orang kelam kabut.