Skip to main content

Rencana

Bila abang bomba padam aib hoki

100117-hoki-abang-bomba.jpg
Dah lama tidak berkesempatan membuat liputan aksi kompetitif hoki memandangkan tugasan tumpuan selalunya kepada sukan lain.

Atas dasar itu,ada keterujaan berbeza apabila turun membuat liputan aksi separuh akhir perebutan Piala Tan Sri P.Alagendra.

Cuaca panas di Stadium Hoki Tun Razak pada Isnin disulami bahang apabila aksi tertangguh hampir tiga jam.

Bukan kerana suasana yang memaksa keringat bertaburan tetapi gara-gara permukaan padang tidak dapat dibasahkan.

Ini semua berpunca daripada kerja-kerja membaiki saliran air yang menyebabkan tekanan air rendah di kawasan stadium.

Memang membingungkan,kerana persiapan lebih rapi sepatutnya menjadi sandaran kepada aksi merebut piala menjelang musim 2017 Liga Hoki Malaysia LHM.

Malah saya tertanya,adakah peminat sukan tanah air tahu sedang berlangsungnya saingan Piala Tan Sri P.Alagendra ketika ini?

Bayangkan kalau senario ini terjadi dalam saingan bertaraf antarabangsa apatah lagi Stadium Tun Razak ini akan menjadi venue kepada aksi Liga Hoki Dunia Wanita pusingan 
kedua bermula 14 Januari ini.

Berbalik kepada pangkal kisah ini,akhirnya khidmat Jabatan Bomba diperlukan untuk menyelamatkan keadaan.

Tidak ada kebakaran yang perlu dipadamkan tetapi anggota yang dikerah menjalankan tanggungjawab dengam baik.

Barangkali waktu artikel ini menemui anda,juara edisi kedua Piala Tan Sri P.Alagendra sudahpun ditabalkan.

Sedih sudah pasti,tetapi masih ada waktu untuk badan induk hoki negara meningkatkan kredibiliti penganjuran saingan domestik mahupun antarabangsa apabila Malaysia menjadi tuan rumah.

Buat abang dan juga kakak bomba,terima kasih tidak terhingga atas pengorbanan kalian tidak mengira tugasan yang mendatang.
 

Advertisement

Must Watch Video