Skip to main content

Rencana

Biarlah saya dibuktikan silap daripada… kecewa nanti

chong-wei-berlatih-muslihat-baru.jpg
Mereka yang mengenali saya tahu betapa saya mengagumi Datuk Lee Chong Wei sebagai seorang jaguh badminton, seorang insan dan seorang rakan.

Seperti anda  -- 30 juta individu yang membentuk Malaysia -- saya juga mahu Chong Wei merealisasikan impian kita semua untuk dia membawa pulang pingat emas sulung buat negara daripada Sukan Olimpik Rio.

Tetapi sejarah sukan negara sering kali mengajar kita untuk terus menangani kekecewaan ketika cerita gemilang hanya tinggal harapan, azam dan janji.

Setiap kali skuad bola sepak negara turun ke padang atau skuad Piala Thomas yang mengidam untuk menamatkan badi kejuaraan sejak 1992 dan sering kali buat kontinjen negara ke sukan antarabangsa bertaraf temasya, kita diulit hampa – harapan yang tidak kesampaian.

Mungkin Hollywood berupaya menjadikan kisah betapa kuat sandaran Malaysia terhadap sukannya meskipun sering dikecewakan, sebagai satu filem inspirasi.

Undian buat Chong Wei dalam acara badminton di Rio adalah persis dalam mana-mana kejohanan utama dunia -- memanaskan badan pada awal saingan sebelum detik kemuncaknya bermula daripada aksi separuh akhir.

Malah, sudah kedengaran Chong Wei bakal mencongak perhitungan dengan seterunya, Lin Dan, dalam saingan empat terakhir itu.

Bagi yang lupa, pedih sebenarnya untuk mengenang kembali dua kekalahan Chong Wei kepada Lin Dan dalam final Sukan Olimpik Bejing 2008 dan London 2012.

Dua pertemuan terakhir di antara mereka dalam Terbuka China 2015 dan Kejohanan Badminton Asia musim ini, bagaimanapun, memihak kepada Chong Wei meskipun Lin Dan beraksi di laman sendiri.

Tetapi rekod sepanjang zaman tetap  unggul di tangan Lin Dan. Daripada 36 pertemuan keseluruhan, 25 kemenangan memihak jaguh China itu dan bakinya milik buat Chong Wei.

Lin Dan saya sifatkan sebagai istimewa, bagaimana dia berupaya tewas jika hilang "mood" dalam gelanggang, begitu juga kemampuannya untuk menang mana-mana kejohanan tertinggi dunia jika itu yang dimahukannya.

Jika anda tanya saya, saya lebih rela meletakkan sasaran sekadar gangsa buat Chong Wei di Rio untuk dia buktikan saya silap dengan memenangi emas.

Mungkin itu lebih baik berbanding harapan menggunung untuk emas diraih tetapi pulang dengan sesuatu yang kurang daripada itu.

Bukan apa, takut kecewa nanti. 
 

Advertisement

Must Watch Video