Skip to main content

Rencana

Biar mundur, asal selesa!

pulau-pinang-fa.png

Apabila rakan-rakan dalam Bola@Mamak mengatakan bahawa Zairil Khir Johari dikhabarkan mencampuri urusan pemilihan pasukan Pulau Pinang yang terperosok di tangga corot Liga Super, terdetik naluri kewartawanan penulis untuk mendapatkan perspektif berbeza.

Maka, penulis menghubungi seorang sahabat yang memberi nombor telefon Zairil, lalu penulis mengirim mesej menerusi aplikasi Whatsapp sambil memperkenalkan diri seawal jam 8 pagi tadi. 

Dengan segera Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) itu yang juga Ahli Parlimen Bukit  Bendera membalas.

Dianya mengenai dakwaan bahawa beliau masuk campur dalam urusan pemilihan pemain dan perencanaan jurulatih Ashley Westwood, Zairil menjawab: “Ashley adalah jenis jurulatih yang akan letak jawatan jika ada sebarang unsur campur tangan.” 

Ditanya apakah desakan segelintir penyokong Harimau Kumbang yang menuntut pengundurannya barangkali usaha sesetengah pihak mahu menyingkirkannya, Zairil menjawab: “Saya tidak faham apa yang mereka mahu.

“Jika ada sesiapa yang boleh bawa RM10 juta untuk pasukan negeri, sila ambil jawatan presiden FAP.”

Ditanya visinya untuk FAP, Zairil menyimpulkannya dengan mudah – untuk memprofesionalkan industri bola sepak.

“Industri sedia ada tidak profesional. Pemain dibayar sebagai profesional tetapi tindak-tanduk mereka tidak profesional. Ini bukan salah mereka tetapi ini gara-gara sistem sedia ada.

“Selama ini, pemain datang menjalani latihan jam 5.30 petang, berlatih selama dua jam dan pulang ke rumah.

“Ada yang merokok, ada yang tidak mengamalkan pemakanan yang baik.

“Jika kita asyik melontarkan soalan kenapa pasukan kebangsaan kita tidak kompetitif, inilah puncanya.

“Bola sepak moden dimainkan dengan intensiti tinggi dan menuntut tahap kecergasan tinggi. Di Eropah, seorang pemain berlari sejauh 11-13km untuk satu perlawanan, pemain tempatan barangkali hanya 7-9km. 

“Secara umumnya, pemain tidak komited sepenuhnya dan juga tidak cergas sepenuhnya. Di FAP, kami sedang cuba menerapkan perubahan. Pemain kini datang jam 8.00 pagi, bersarapan dan seterusnya berlatih, disusuli makan tengah hari dan sesi di gimnasium.”

Zairil juga memberi bayangan mengubah mentaliti dan dinamika dalam hubungan di antara pemain dan pengurusan.

“Bukanlah sesuatu yang profesional apabila kita mengharapkan pemain memuja seorang presiden. Kita masyarakat yang feudal. Kenapa harus kita memuja atau mengagumi presiden persatuan? Sedangkan keluarga Glazer yang memiliki kelab Manchester United jarang-jarang bertemu dengan pemain!

“Bola sepak tempatan harus keluar daripada kepompong feudal ini,” kata Zairil mengakhiri perbualan alam maya kami.

Perubahan yang cuba dibawa, malangnya, akan sentiasa berdepan dengan bangkangan dan bantahan daripada mereka yang lama berada dalam zon selesa.

Sesetengah daripada kita lebih rela mundur asal selesa! 




Advertisement

Must Watch Video