Skip to main content

Advertisement

Rencana

Bertuahnya Cheng Hoe, Harimau Malaya

cover-cheng-hoe-harimau-malaya.jpg
Dua pasukan berjiran, Malaysia dan Thailand, dengan dua nasib berlawanan tapi Tan Cheng Hoe dan Harimau Malaya masih boleh menghargai tuah mereka.

Sambil Thailand bertatih memanjat ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menghampiri kelompok 100 teratas, Harimau Malaya pula memilih “terjunan bebas” untuk lebih mendekati paras 200.

Anehnya, buat dua negara tuan rumah ketika jendela perlawanan antarabangsa baru-baru ini, ia menyerlahkan dua nasib yang hampir serupa pula – cuma Tan Cheng Hoe dan Harimau Malaya sedikit bertuah.

Pada waktu yang hampir sama Malaysia menganjurkan Piala Airmarine pada 20 dan 23 Mac, China pula menjadi venue kejohanan empat negara Piala China pada 21 dan 25 Mac.

Jika di pihak Malaysia, kesudahannya dianggap kecewa, lebih buruk lagi buat China yang dilabel malapetaka – Cheng Hoe dan Harimau Malaya masih bertuah.

Dianjurkan dengan matlamat menaikkan sedikit ranking dunia Malaysia (167) – selain hasrat berganjak daripada tangga ke-35 Asia sekurang-kurangnya ke tangga 34 untuk mengelakkan play-off kelayakan Piala Dunia 2022 – Harimau Malaya tumpas 0-1 kepada Singapura (165) untuk harapan itu lebur.

Dalam pada itu, Cheng Hoe dan Harimau Malaya masih bertuah.

China (72), dengan diterajui bekas pemenang Piala Dunia bersama Itali, Fabio Cannavaro, dalam perlawanan pertamanya selaku pengurus menggantikan Marcello Lippi, juga tewas 0-1 kepada Thailand (115) di hadapan penyokong sendiri.

Cuma, berbeza dengan sekelumit yang menonton aksi pembukaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, penyokong China pula mengamuk di Stadium Pusat Sukan Guangxi, Nanning, dengan kekalahan itu mendorong mereka beramai-ramai menuntut Cannavaro segera dipecat sambil skuad kebangsaan Negara Tembok Besar itu didesak supaya dibubarkan saja.

Bertuahlah Cheng Hoe dan Harimau Malaya.

Kemudian, Malaysia bangkit daripada keaiban perlawanan sulungnya untuk menundukkan Afghanistan 2-1 berselang tiga hari selepas perlawanan pertama  – pasukan lawan itu menjaringkan dua gol tapi masih tewas.

Sebagai perbandingan, China, yang berjanji untuk bangkit, tewas pula 0-1 kepada Uzbekistan (89) dalam perlawanan penentuan tempat ketiga malam kelmarin dan serentak dengan itu, pelbagai kempen diperhebatkan melalui Sina Weibo – pelantar media sosial terbesar di negara itu – mendesak bahawa pemecatan Cannavaro dan pembubaran skuad kebangsaan bukan lagi satu pengecualian.

Tuah Cheng Hoe dan Harimau Malaya, bagaimanapun, terhenti setakat itu.

Kerana jika diperbandingkan dengan Thailand, ia akan membuka mata terhadap semakin luasnya jurang Harimau Malaya dengan skuad Gajah Perang itu.



Diundang menyertai Piala China selaku pasukan di ranking terendah dalam kalangan empat negara peserta, Thailand (115) mengejutkan tuan rumah itu 1-0 dalam perlawanan pembukaan Khamis lalu hasil jaringan pemainnya yang berkelana ke kelab Liga J, Consadole Sapporo, Chanathip Songkrasin.

Berdepan Uruguay (7) dalam final kelmarin, skuad Gajah Perang itu masih memberikan persembahan terpuji sebelum tunduk kepada La Celeste -- yang ketiadaan kedua-dua Luis Suarez dan Edinson Cavani yang cedera tapi masih membariskan pemain utama seperti Diego Godin, Jose Maria Gimenez, Martin Caceres, Nahitan Nandez, Matias Vecino, dan Federico Valverde.

Barangkali, dibandingkan dengan peningkatan terbaru Thailand – yang disingkirkan skuad negara dalam separuh akhir Piala Suzuki AFF tahun lalu – Cheng Hoe dan Harimau Malaya akan berasa tuah tidak akan bersama mereka selamanya.

Advertisement

Must Watch Video