Frank Bernhardt kembali ke tanah air semalam tanpa bayangan apa yang menantinya menuju sasaran emas dalam Sukan SEA, Ogos depan.
Perkiraannya haruslah jadual latihan dan pendedahan perlawanan antarabangsa selanjutnya tanpa kemungkinan pemecatan terlintas di mindanya.
Namun, spekulasi kini sudah mula menular bahawa jurulatih berbangsa Jerman itu akan ‘angkat bungkus’ selepas 25 Mac ini.
Benar, pihak-pihak berkaitan akan segera menafikannya tapi dalam arus perkembangan maklumat hari ini, penafian sudah banyak diterjemah sebagai pengesahan.
Mengapa selepas 25 Mac?
Pertama, skuad bawah 22 tahun (B-22) bimbingannya akan bertanding dalam Piala Antarabangsa Dubai bulan depan yang hanya dijangka menelanjangi kelemahan pasukannya -- laman rasmi kejohanan itu turut menampilkan pasukan-pasukan seperti Amerika Syarikat, Mesir, Afrika Selatan, Arab Saudi, Kenya, Qatar, Lubnan, Jordan, England, Wales, Uganda, Zimbabwe, India dan Indonesia selain tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kedua, dan yang harus paling relevan, ialah tarikh itu akan berlangsungnya Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Ke-53 dengan jangkaan barisan kepemimpinan barunya mempunyai perancangan berbeza buat skuad Harimau Malaysia dan skuad B-22 negara.
Ia sudahpun dibayangkan beberapa hari lalu, bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez, akan menggantikan Datuk Ong Kim Swee bagi mencaturkan kebangkitan Harimau Malaysia selepas kempen kelayakan ke Piala Asia 2019. Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Utara, Hong Kong dan Lubnan, dengan perlawanan pertama di Pyongyang pada 28 Mac.
Diuar-uarkan Bernhardt juga tidak terkecuali, dengan seorang jurulatih tempatan yang masih misteri akan mengambil alih tugas-tugas meneruskan misi emas Sukan SEA.
Harus desas-desusnya sudah dapat dihidu Bernhardt yang sekembalinya daripada kekalahan 0-3 kepada skuad B-22 Vietnam, menuturkan: “Saya masih mempunyai kontrak dan akan mematuhinya. Ini bukan masanya untuk saya memikirkan soal (kontrak) ini.
"Saya akan menggalas tugas dalam Sukan SEA dengan kontrak saya akan tamat pada Disember.”
Tidak demikian kata satu sumber dari koridor kuasa FAM yang mengandaikan terlerainya ikatan dengan Bernhardt umpama sesuatu yang sudah tertulis di dinding.
“Segala keputusan sepanjang Frank mengendalikan pasukan tidak memberangsangkan, ditambah perwatakannya yang gemar menyendiri dan tidak bercakap dengan orang lain, turut memburukkan keadaan,” katanya.
Cuma, sedikit simpati buat Bernhardt ialah jurulatih berusia 48 tahun ini mungkin mangsa keadaan kerana tidak mendapat sepenuhnya bantuan untuk menjayakan tugasnya – permintaannya untuk melantik pembantu daripada seorang jurulatih asing ketika memulakan tugasnya 13 bulan lalu ditolak selain tidak mendapat pelepasan pemain seperti dimahukannya.
Tiba-tiba Sukan SEA seperti akan berlangsung esok atau lusa, dengan masa semakin suntuk untuk memburu ibu segala pingat.