Skip to main content

Rencana

Beregu campuran harapan Malaysia

chan-peng-soon-goh-liu-ying.jpg
Menuju penghujung kalendar badminton antarabangsa, sudah pasti ramai semakin teruja untuk saingan akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang akan berlangsung di Guangzhou Disember depan.

Dahulu kejohanan ini lebih dikenali sebagai Saingan Akhir Siri Super dan berlangsung di Dubai.

Untuk tahun ini,tampak sandaran negara tertumpu kepada gandingan beregu campuran Chan Peng Soon/ Goh Liu Ying dan juga Goh Soon Huat / Shevon Lai.

Kemaskini ranking untuk kejohanan ini pada  1 November 2018 oleh badan induk itu menyaksikan Peng Soon/Liu Ying berada di tangga kedua, di belakang pasangan China, Zheng SiWei/Huang Yaqiong, sementara Soon Huat dan Shevon berada di posisi keempat.

Manakala harapan semakin tipis untuk bekas juara edisi 2016, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong untuk turut layak dalam acara beregu lelaki setelah mereka kini hanya berada di tangga ke-14.

Format saingan ini menetapkan hanya lapan pemain terbaik dalam setiap acara (perseorang lelaki/wanita, beregu lelaki/wanita dan campuran) sahaja layak beraksi.

Masa juga kian suntuk kerana kutipan ranking terakhir untuk setiap pemain cuba melayakkan diri adalah di Masters Korea 27 November depan.

V Shem dan  Wee Kiong pula hanya berbaki dua kejohanan iaitu Terbuka China dan Hong Kong, dan mereka perlu melakukan keajaiban, menang kedua-kedua kejohanan ini untuk kumpul mata dengan banyak, namun ia dilihat amat mustahil berdasarkan prestasi semasa.

Manakala bagi Soon Huat dan Shevon, yang berada dalam zon selesa untuk beraksi di Guangzhou, ia bakal menjadi penampilan pertama mereka beraksi di pentas berprestij itu. Khususnya Soon Huat sejak beralih dari acara perseorangan lelaki ke beregu campuran, dia mendaki prestasi yang lebih baik berbanding dahulu.

Untuk tahun ini sahaja, Soon Huat dan Shevon sudah menjuarai dua kejohanan iaitu Terbuka Jerman pada Mac, dan seterusnya pada Julai memenangi Terbuka Singapura, dan menewaskan pemenang pingat emas Olimpik Rio 216, Tontowi Ahmad/ Liliana Natsir dalam perlawanan akhir.

Walaupun bakal punyai dua wakil sahaja ke Saingan Akhir Jelajah Dunia, ia lebih baik daripada langsung tiada wakil sepertimana dialami Malaysia pada 2014 & 2015.

Advertisement

Must Watch Video